Pelaksanaan Inisiatif-Inisiatif SMJ Mampu Rangsang Pertumbuhan, Pulihkan Ekonomi Sabah – KM

hajiji-dan-bung.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, Kerajaan Negeri yakin semua inisiatif yang dirancang dan dilaksanakan di bawah pelan pemulihan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), mahupun pelan pemulihan jangka pendek mampu merangsang pertumbuhan dan seterusnya memulihkan ekonomi dan sektor sosial di Sabah.

Berkata demikian semasa menjawab pertanyaan-pertanyaan Ahli Yang Berhormat dari Elopura, Kadamaian, Usukan dan Luyang, Hajiji berkata pandemik Covid-19 sememangnya telah memberi kesan negatif kepada sektor ekonomi dan sosial, bukan sahaja di negeri ini, malah di negara kita dan seluruh dunia.

“Pada ketika kita masih berhadapan dengan pandemik yang belum menampakkan penghujungnya, Kerajaan Negeri menyedari tentang perlunya keseimbangan di antara kesihatan rakyat dan keperluan ekonomi. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai strategi jangka pendek dan jangka panjang untuk memulihkan ekonomi dan sosial negeri yang terjejas akibat pandemik Covid-19,” katanya di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.

Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri telah melancarkan Hala Tuju SMJ (Pelan Pembangunan SMJ 1.0: 2021-2025) pada bulan Mac 2021 di mana konsep dan prinsipnya dibentangkan di DUN pada bulan Disember 2020.

“Hala Tuju SMJ berpaksikan tiga teras utama, iaitu Sektor Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan sebagai pelan holistik yang memfokuskan pemulihan dan pertumbuhan ekonomi. Teras kedua, Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat, manakala Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau sebagai teras ketiga.

“Di samping itu, ia didokong oleh lima pemboleh daya iaitu kemampanan fiskal, kemudahan kewangan, keberkesanan dan kecekapan penyampaian, kecemerlangan tadbir urus yang berintegriti serta Kerajaan Digital berteraskan teknologi dan inovasi.

“Usaha-usaha pemulihan ekonomi negeri akan dijalankan melalui pelaksanaan fasa pertama Hala Tuju SMJ meliputi sejumlah 573 inisiatif.

“Sebanyak 145 daripadanya adalah inisiatif-inisiatif yang memfokuskan kepada pertumbuhan sektor ekonomi utama, iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan. Kesemua 145 inisiatif ini dirangka selaras dengan fungsi teras setiap kementerian, jabatan dan agensi Kerajaan Negeri,” jelas beliau.

Tambahnya, inisiatif-inisiatif ini berupaya mewujudkan kesan positif kepada pemulihan dan pertumbuhan ekonomi negeri, meningkatkan kemudahan infrastruktur dan sumber daya sedia ada, menggalakkan pelaburan, menyediakan peluang-peluang perniagaan dan peluang pekerjaan kepada penduduk Sabah.

“Impak ini pastinya akan mewujudkan tindak balas rantaian positif terhadap ekonomi negeri, bertepatan dengan usaha yang sedang digerakkan oleh Kerajaan Negeri untuk memulih kembali asas ekonomi negeri yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19 di negeri ini,” katanya.

Menurut Hajiji, kesan awal daripada pelaksanaan Hala Tuju SMJ dapat dilihat melalui kejayaannya untuk meyakinkan para pelabur bagi tiga sektor fokus utama pertumbuhan ekonomi negeri.

Katanya, pada 22 Mac 2021, sektor pertanian telah membuka langkah pemulihan di mana Kerajaan Negeri telah menandatangani Memorandum Persefahaman dengan sebuah syarikat pengeluar utama produk-produk berasaskan kelapa untuk membangunkan Projek Penanaman Kelapa Berhasil Tinggi dengan nilai pelaburan RM420 juta dan kilang pemprosesan kelapa di Pitas dengan nilai pelaburan RM200 juta.

 

Inisiatif ini akan mewujudkan peluang pekerjaan sebanyak 3,250, katanya, sambil menambah tumpuan juga akan turut diberikan kepada usaha untuk meningkatkan sumbangan sub-sektor tanaman, perikanan dan ternakan dalam pengeluaran produk pertanian khususnya produk berpremium tinggi dan komersial untuk menjamin bekalan makanan mencukupi dan mengembangkan pasaran eksport.

Bagi sektor perindustrian, katanya, Kerajaan Negeri akan terus menggalakkan industri berorientasikan eksport dan penggantian import sebagai salah satu langkah memulih dan melonjakkan pertumbuhan sektor tersebut.

Selain itu, Kerajaan Negeri akan menyediakan pakej insentif pelaburan khas dan memastikan kos pelaburan di negeri ini kompetitif bagi menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi.

“Sukacita saya memaklumkan bahawa di bawah pelan pemulihan ekonomi SMJ 1.0, Kerajaan Negeri telah berjaya menarik beberapa pelaburan dalam sektor pembuatan. Satu daripadanya ialah pelaburan baharu bernilai RM4.2 billion untuk membangunkan industri pembuatan kerajang tembaga (copper foil) di negeri Sabah. Kilang ini akan dibina di tanah seluas 400 ekar di Taman Perindustrian Kota Kinabalu dan akan beroperasi pada tahun 2023 yang mewujudkan 400 peluang pekerjaan. Perjanjian dengan syarikat berkenaan telahpun dimeterai pada 26 Julai 2021,” ujarnya.

Manakala bagi sektor pelancongan, Hajiji berkata, pembangunan Projek Lok Kawi Resort City dengan nilai pelaburan berjumlah RM7 billion akan mewujudkan lebih kurang 5,000 peluang pekerjaan apabila pembangunan projek ini siap sepenuhnya.

“Kerajaan menyedari bahawa industri pelancongan mempunyai rantaian dan impak langsung terhadap pemborong, peruncit dan pembekal makanan, rangkaian hotel sehinggalah petani dan nelayan, manakala di pihak kerajaan pula dari segi cukainya.

“Justeru itu, Kerajaan Negeri akan melaksanakan promosi pelancongan yang lebih agresif, menyelenggara produk dan destinasi pelancongan sedia ada, memperkasa infrastruktur dan kemudahan asas pelancongan serta meneroka tarikan dan peluang baharu khususnya kepada pelancong domestik memandangkan ketika ini penerbangan antarabangsa agak terhad,” jelasnya.

Selain itu, katanya, bagi memulih dan membangunkan ekonomi secara inklusif, pemetaan nod pertumbuhan utama telah dikenal pasti.

“Kawasan sempadan yang strategik dan mempunyai potensi juga diliputi dalam Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya melalui pembangunan Bandar Sempadan Serudong-Simanggaris. Pembangunan ini mengambil kira potensi ekonomi yang akan diwujudkan berikutan pemindahan ibu negara Republik Indonesia ke Kalimantan,” ujarnya.

Hajiji berkata, perbelanjaan isi rumah merupakan penyumbang kepada penjanaan ekonomi rakyat dalam jangka masa pendek. Setiap perbelanjaan isi rumah akan melibatkan transaksi jual-beli di sepanjang rantaian bekalan essential goods and services dan keaktifan transaksi ini akan menjana pendapatan kepada peniaga-peniaga dalam rantaian bekalan.

Oleh itu, tambahnya, sebagai langkah pemulihan ekonomi jangka masa pendek, Kerajaan Negeri telah melancarkan beberapa pakej bantuan khusus untuk rakyat negeri Sabah bagi meringankan kesukaran yang dihadapi sekaligus meningkatkan kuasa membeli.

“Setakat ini Kerajaan Negeri telah membelanjakan pakej bantuan berjumlah RM1.25 bilion sejak pandemik Covid-19 melanda negeri ini, termasuk RM324 juta pada tahun 2021. Pada masa sama, insiatif ini sudah tentu akan dapat meningkatkan kitaran wang dalam ekonomi negeri bagi menjamin kelangsungan hidup rakyat Sabah dan perniagaan yang dijalankan di negeri ini dalam tempoh masa yang mencabar ini.

“Dalam aspek pemulihan kesihatan, Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM256.9 juta kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah untuk pengurusan berkaitan Covid-19 di Sabah sejak pandemik Covid-19 melanda negeri ini. Manakala di pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebanyak RM110 juta,” terangnya.

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri merakamkan terima kasih atas keprihatinan Kerajaan Persekutuan yang melaksanakan pelbagai inisiatif pemulihan ekonomi, yang turut melibatkan negeri Sabah.

Kerajaan Persekutuan telah memperkenal dan melaksanakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan juga pelbagai pakej rangsangan lain seperti Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), Strategi Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), yang bertujuan untuk memulihkan sektor-sektor ekonomi dan sosial di negara ini yang terjejas, termasuk di negeri Sabah.

“Suka saya memaklumkan bahawa pada tahun ini sahaja seramai 283,745 pekerja telah mendapat manfaat melalui Program Subsidi Upah melibatkan perbelanjaan sebanyak RM975 juta.

“Rakyat negeri ini turut menerima bantuan tunai langsung melalui Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) iaitu seramai 782,000 penerima melibatkan perbelanjaan sebanyak RM628 juta bagi meringankan kos sara hidup dan pemulihan ekonomi semua lapisan rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Manakala Bantuan Khas Covid-19 (BKC) sedang dalam proses pengagihan ketika ini,” kata Hajiji.

Bagi mempercepatkan pemulihan melalui pembukaan pelbagai aktiviti ekonomi dan sosial, Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri telah dan sedang memperhebatkan pelaksanaan program vaksinasi di kalangan penduduk di negeri ini untuk mencapai Imuniti Kelompok (herd immunity) sebelum akhir Oktober 2021.

“Untuk mencapai hasrat tersebut, Kerajaan Negeri telah membuka lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV), mempergiatkan pelaksanaan program bergerak CITF Daerah ke kawasan luar bandar, pemberian vaksin secara walk-in serta kerjasama sektor awam-swasta. Pencapaian Imuniti Kelompok tersebut akan menyaksikan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi, pembukaan premis-premis perniagaan dan aktiviti sosial di Sabah,” kata beliau.

Hajiji turut memaklumkan dalam bulan September ini sahaja beberapa aktiviti ekonomi dan sosial telahpun dibenarkan beroperasi secara berperingkat di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN), Prosedur Operasi Standard (SOP) Fasa 2 bagi seluruh negeri Sabah sebagai tambahan kepada aktiviti yang telah dibenarkan sebelum ini.

“Ini termasuklah premis-premis makanan dan restoran, pelancongan domestik, gelembung perjalanan (travel bubble), institut latihan pemanduan, industri kreatif, sukan dan rekreasi, perkhidmatan pengangkutan dan sektor logistik, penjaja, sektor ekonomi perkhidmatan perlu dan rantaiannya merangkumi pertanian, perikanan, penternakan, perladangan, industri dan perniagaan, serta sektor perdagangan dan pengedaran.

“Dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN), Sabah sememangnya merupakan antara negeri terawal melaksanakan pembukaan beberapa aktiviti bagi memastikan kehidupan ekonomi rakyat dan aktiviti sosial dapat dipulihkan secara berperingkat,” kata beliau.

Bagi menyokong pemulihan ekonomi merentasi semua sektor, Ketua Menteri berkata, penyampaian perkhidmatan oleh perkhidmatan awam negeri akan diperkasa.

Jelasnya, antaranya usaha pendigitalan penyampaian perkhidmatan kerajaan akan dipercepatkan agar dapat memberi manfaat kepada rakyat dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

“Walaupun konsep bekerja dari rumah dilaksanakan sepanjang PKP dan PPN bagi mengekang ancaman penularan Covid-19, namun ia tidak menjejaskan perkhidmatan utama kerajaan,” katanya.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top