KOTA KINABALU: Pelajar Kolej Vokasional Keningau di Sabah, Nurul Nazieha Jasnie berpeluang memenangi wang tunai RM454,000 selepas terpilih sebagai finalis anugerah Global Student Prize 2023.
Anugerah berprestij itu dianjurkan Varkey Foundation yang berpangkalan di United Kingdom dan Nurul Nazieha dipilih sebagai salah seorang daripada 50 finalis daripada 3,851 pencalonan membabitkan 122 negara.
Varkey Foundation dalam kenyataan berkata, bergelar pelajar jurusan bakeri dan pastri, Nurul Nazieha berjaya menubuhkan perniagaan Tiaa Cookies pada 2022 dan membantu golongan berpendapatan rendah di Sabah.
“Sejak pelancarannya, Nurul Nazieha sentiasa menambah baik strategi perniagaan antaranya menggunakan bag kertas mesra alam dan menjalankan promosi dengan mesej positif semasa minggu kesihatan mental pelajar.
“Dengan cara ini dia mampu menanggung perbelanjaan dirinya malah mengajak rakan sekelas untuk menjadi rakan perniagaan,” katanya.
Menurutnya, menerusi Tiaa Cookies, Nurul Nazieha berjaya melatih seramai 120 suri rumah dalam kalangan keluarga B40 dalam bidang membuat kek dan perniagaan.
Selain itu, dia turut terbabit dalam pelbagai program dan kempen bagi meningkatkan kesedaran orang ramai berhubung kepentingan pendidikan vokasional di Malaysia.
Difahamkan, jika berjaya merangkul gelaran Global Student Prize, Nurul Nazieha akan menggunakan dana berkenaan untuk mengembangkan perniagaan dan menjadikannya perusahaan sosial dengan menggabungkannya dengan bengkel komuniti.
Pada masa sama, dia dijangka menghasilkan buku resipi bertemakan kepelbagaian etnik dan budaya negeri Sabah dalam usaha memulihara warisan serta makanan tradisional tempatan.
Sumber: HMetro