KOTA KINABALU: Tiga pelajar jurusan Teknologi Pembinaan Kolej Vokasional Keningau telah menghantar penyertaan ke pertandingan video Indie Online Film Award yang berpusat di Kiev, Ukraine, pada 25 September 2022, dalam kategori video pendek.
Video rakaman pasukan ini boleh diakses melalui: https://youtu.be/bGv0CFFGlr0
Pelajar-pelajar itu adalah Mary Anne Dalubatan, Megchisah Pakiak dan Yusham Yussar yang berumur 18 tahun.
Ketiga-tiga pelajar itu menghasilkan video tutorial berkenaan dengan tiga prosedur kerja-kerja dalam bidang pembinaan. Video pertama menunjukkan cara memasang jubin lantai dengan kemas dan cermat. Video kedua merupakan demonstrasi memasang kekuda bumbung manakala video ketiga memaparkan cara-cara menguji kekuatan kiub konkrit.
Pengarah kolej itu, Johari @ Jaibet Sabin, mengucapkan tahniah kepada pasukan itu yang menggunakan kemahiran vokasional yang mereka pelajari untuk menghasilkan video yang berunsurkan pendidikan.
Beliau berpendapat aktiviti sebegini selaras dengan trend masa kini di mana penciptaan kandungan ataupun “content creation” merupakan satu bidang yang kian mendapat perhatian ramai dan merupakan satu strategi perniagaan yang berkesan.