KOTA KINABALU : Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Sabah menasihati pelajar untuk tidak menyertai satu perhimpunan antirasuah yang dijadualkan pada 31 Dis ini, bagaimanapun, ia tidak menghalang sesiapa yang memilih untuk hadir.
Majlis itu berkata terdapat beberapa isu yang dibangkitkan dalam perhimpunan itu termasuk pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah, yang mungkin menyalahi undang-undang.
“Kami menghormati hak individu untuk menyuarakan pendapat dan menuntut perubahan tetapi kami menekankan keselamatan pelajar,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, pelajar juga perlu mengelak sebarang provokasi sepanjang perhimpunan.
Dirancang diadakan di luar pusat pentadbiran kerajaan negeri Sabah, perhimpunan tersebut bertujuan mendesak tindakan lebih tegas terhadap amalan rasuah di negeri itu.
Bagaimanapun, beberapa tuntutan daripada penganjur menimbulkan kebimbangan, termasuk kritikan terhadap perlantikan Musa sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah, yang mungkin melanggar undang-undang.
Bertemakan ‘Gempur Rasuah Sabah’, penganjur menjangkakan lebih 10,000 menyertai perhimpunan itu. Penganjur juga berusaha untuk mendapatkan kebenaran polis.
Penganjur dilaporkan berkata rakyat Sabah sudah bosan dengan dakwaan rasuah yang berlaku hingga mencemarkan imej negeri ini.