Pelajar sekolah guna motosikal perlu miliki lesen sah: Polis

budaksekolahmotor.jpg

Gambar hiasan.

Kongsi Bersama

RANAU: Pengguna motosikal dalam kalangan pelajar sekolah perlu memiliki lesen sah untuk menggunakan kenderaan itu ke sekolah bagi mengelak tindakan undang-undang dikenakan terhadap mereka.

Ketua Polis Daerah Ranau, DSP Simiun Lomudin berkata, terdapat beberapa aduan diterima daripada pihak pentadbir sekolah menyatakan terdapat segelintir pelajar menunggang motosikal tanpa memiliki lesen sah.

“Kesalahan menunggang motosikal tanpa lesen sah boleh didakwa mengikut Seksyen 26 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM2,000,” katanya.

Simiun turut menjelaskan sekiranya pelajar sekolah terbabit kemalangan, mereka tidak dilindungi insurans, selain kesalahan itu akan dikenakan kompaun di bawah Seksyen 15 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan motosikal boleh dirampas di bawah Seksyen 64 (1) akta sama.

Katanya, pelajar yang layak memohon lesen motosikal mestilah berumur 16 tahun ke atas untuk mendapatkan lesen kelas B2 dan B seperti ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Sebelum itu, Bahagian Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Ranau melakukan pemeriksaan mengejut di jalan utama berhampiran sebuah sekolah dekat sini, baru-baru ini.

Didapati beberapa penunggang motosikal dalam kalangan pelajar sekolah berkenaan tidak memiliki lesen sah dan cukai jalan motosikal juga telah tamat tempoh.

Bagaimanapun, mengikut budi bicara polis, kesemua pesalah hanya diberi amaran keras supaya segera mendapatkan lesen memandu sah sebelum menunggang motosikal ke sekolah.

Dalam pada itu, Simiun turut menasihati mana-mana penunggang motosikal supaya tidak mengubah suai alat penyengap atau paip ekzos motosikal mereka bagi mengelak mengganggu ketenteraman orang ramai.

“Pihak kami tidak akan bertolak ansur dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pemilik motosikal yang mengubah suai ekzos sehingga menimbulkan bunyi bising dan tidak selesa kepada masyarakat,” katanya. – HARIAN EKSPRESS

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top