CHUKAI: Seorang pelajar perempuan Tingkatan 2 sebuah sekolah menengah di sini parah selepas terjatuh dari jejantas setinggi 10m berhampiran sekolahnya hari ini.
Ketua Polis Kemaman, Superitendan Hanyan Ramlan berkata, jejantas itu digunakan pelajar berkenaan kerana ia menghubungkan dua blok akademik yang terletak di seberang jalan.
“Mangsa dikatakan mahu pergi ke blok bertentangan selepas mengikuti sesi bacaan Yasin dan terjatuh ketika berada di jejantas tersebut pada 7.30 pagi.
“Polis yang mendapat laporan terus ke lokasi kejadian dan menghantar mangsa ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi pemberita.
Hanyan berkata, akibat kejadian itu pelajar berkenaan dilaporkan patah pinggang dan beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian kerana pihaknya sedang melakukan siasatan terperinci. – BERNAMA