Pelajar mangsa kelesuan haba akibat cuaca panas di Sabah

Dr-Asits-Sanna.jpg

Dr Asits Sanna (Gambar fail)

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan kes terbaru kesihatan dikaitkan dengan fenomena cuaca panas membabitkan seorang pelajar yang dilaporkan mengalami kelesuan haba akibat menjalani aktiviti bersukan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dr Asits Sanna, berkata pelajar lelaki berusia 14 tahun itu dikesan mengalami masalah berkenaan ketika mendapatkan rawatan di unit kecemasan sebuah hospital pada 27 Julai lalu.

Katanya, pemeriksaan mendapati pelajar terbabit mengalami simptom kelesuan haba yang dipercayai berlaku akibat menyertai aktiviti bersukan ketika cuaca panas.

“Kes itu dikesan selepas pelajar berkenaan mendapatkan rawatan di bahagian kecemasan hospital tetapi dibenarkan pulang pada hari yang sama.

“Faktor risiko yang dikenal pasti adalah terbabit dalam aktiviti bersukan ketika keadaan cuaca panas,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Dr Asits berkata, pelajar terbabit adalah antara 16 kes kesihatan berkaitan fenomena cuaca panas yang direkodkan di Sabah dalam tempoh empat bulan bermula 15 April lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 10 kes membabitkan kelesuan haba, manakala tiga kes kekejangan otot dan tiga kes lagi membabitkan strok haba.

Beliau berkata, antara gejala penyakit berkaitan cuaca panas ialah badan berasa kering dan panas, denyutan jantung menjadi laju, pening, mual dan boleh mengakibatkan sawan atau pengsan.

Berdasarkan perkembangan semasa cuaca panas yang dikeluarkan MetMalaysia kelmarin, empat daerah di Sabah iaitu Tuaran, Nabawan, Beluran dan Kinabatangan disenaraikan pada tahap berjaga-jaga berikutan mencatat suhu tinggi antara 35 hingga 37 darjah celsius. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top