KOTA KINABALU: Projek Khidmat Komuniti yang dihasilkan pelajar Teknologi Pembinaan Kolej Vokasional (KV) Keningau berjaya menerima geran ‘YouthMADE Festival Amplify 2024’ melalui projek ‘First 2 Fix’.
Geran bernilai USD500 bersamaan kira-kira RM2,300 itu diberikan kepada 10 projek terbaik dari seluruh dunia termasuk penerima dari negara Amerika Syarikat, Brazil, India, Nigeria, dan Luxembourg.
Pertandingan yang julung kalinya diadakan tahun ini dianjurkan oleh Digital Promise Global yang berpangkal di Washington D.C Amerika Syarikat.
Pasukan KV Keningau terdiri daripada lima pelajar tahun kedua termasuk ketua pasukan Ara Billa Biton, Ahmad Fahmi Ali Hassan, Charles John, Mellyvonny Marius, dan Nur Qamariah Hasmeddy.
Ara berkata, projek komuniti mereka adalah projek pembaikan dan pemulihan rumah khususnya bahagian-bahagian tertentu seperti pintu, siling, dinding, lantai dan tangga untuk menjadikan rumah lebih selesa dan selamat untuk didiami.
Katanya, kumpulan sasaran projek itu adalah penghuni rumah berpendapatan rendah yang kurang mampu mendapatkan perkhidmatan baik pulih bagi tempat kediaman mereka.
“Kami amat teruja kerana projek ini diwujudkan untuk membantu penduduk sekitar daerah Keningau sambil mengumpul dana untuk aktiviti-aktiviti program kami,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kolej Vokasional Keningau Nordin Akup berkata, pihaknya berbangga dengan pencapaian pasukan itu atas niat murni membantu komuniti setempat melalui kemahiran mereka.
Pihak penganjur mengumumkan secara rasmi senarai pemenang menerusi laman sesawang Digital Promise Global pada Rabu lepas.
Penyampaian geran berkenaan adalah untuk membolehkan projek-projek berkaitan komuniti dapat direalisasikan dengan lebih baik. – UTUSAN BORNEO