KENINGAU : Pasukan Teknologi Automotif Kolej Vokasional (KV) Keningau telah meraih pingat emas dalam pertandingan inovasi Kuala Lumpur International Invention & Innovation Symposium 2024 (KL3IS) anjuran Universiti Teknologi Mara dan sebuah persatuan pendidikan di Indonesia yang diumumkan keputusannya pada 24 Julai 2024 melalui saluran secara langsung YouTube.
Pasukan yang terdiri daripada lima orang pelajar itu telah mendapat anugerah emas dengan inovasi mereka yang dinamakan Oil Vac Pump.
Lima orang pelajar berkenaan merupakan pelajar tahun akhir program Teknologi Automotif iaitu Allen Ivannezz Natanel, Jimly Deevun Taraan, Raysner Freno Rayced, Ardiano Heron H.A Hassan dan Muhd Idzuddin bin Ajimin.
Mereka telah merekacipta sebuah alat yang mampu membantu mekanik kereta untuk menukar minyak atau sebarang cecair di komponen-komponen kereta terentu dengan lebih cepat, selamat dan cermat.
Ini mampu mengelakkan insiden yang tidak diingini dan pembaziran minyak yang sering tumpah semasa proses penukaran menggunakan prosedur biasa.
Ketua projek tersebut, Allen Ivannezz menyatakan rasa gembira atas pencapaian tersebut kerana ianya merupakan pembakar semangat bagi mereka untuk terus berinovasi lebih-lebih lagi untuk projek tahun akhir mereka di kolej tersebut.
Misi mereka adalah untuk merekacipta inovasi yang dapat membantu komuniti dan projek Oil Vac Pump ini telah dikaji penggunaannya di kedai mekanik kereta di kawasan pedalaman.
Pengarah KV Keningau, Nordin Akup, mengucapkan tahniah kepada pasukan pelajar ini dan berharap warga kolej tersebut akan terus berusaha untuk meningkatkan kaedah pembangunan inovasi agar ianya lebih bermutu tinggi dan dapat memberi faedah kepada masyarakat.
Pengumuman keputusan pertandingan inovasi tersebut telah berlangsung semasa majlis anugerah yang dilaksanakan secara dalam talian dan ianya boleh diakses melalui pautan YouTube : https://youtu.be/BSFDwKl-qvE
Sumber: Sabah Post