KENINGAU: Pasukan pelajar kosmetologi Kolej Vokasional Keningau telah membentang projek inovasi di persidangan dalam talian International Cappadocia Scientific Research Congresss yang berlangsung pada 18 Jun 2022 berpusat di Turki.
Persidangan ini dihadiri oleh delegasi dari lebih 30 buah negara. Rakaman pembentangan pasukan ini boleh diakses melalui: https://youtu.be/tkJGffyx_-g
Pasukan yang terdiri dari pelajar tahun empat kolej itu dianggotai oleh Delvera Debbie, Jesira Jean, Helsianey Phillip dan Jacqueen Joyce. Pasukan ini membentang alat bantu mengajar yang direkacipta khas untuk topik lakaran inai di bahagian permukaan tangan untuk tujuan estetik.
Topik ini merupakan salah satu topik yang wajib dipelajari oleh pelajar jurusan kosmetologi dan segelintir pelajar mengalami kesukaran untuk menguasai kemahiran melakar inai. Oleh itu, inovasi ini dicipta agar dapat membantu pelajar-pelajar tersebut mempelajari teknik lakaran inai dengan lebih baik.
Pengarah kolej itu, Johari @ Jaibet Sabin mengucapkan tahniah kepada pelajar-pelajar berkenaan kerana keberanian mereka mengenengahkan projek inovasi program mereka melalui pembentangan di persidangan penyelidikan.