KINABATANGAN: Pagi Ahad lalu seorang pekerja feri mengangkut barang hilang selepas terjatuh ke dalam sungai di kawasan sebuah estet di sini.
Pagi ini lelaki berusia 45 tahun itu ditemukan lemas kira-kira 100 meter dari lokasi mangsa terjatuh.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, mayat lelaki warga Indonesia berkenaan ditemukan oleh pasukan bomba kira-kira jam 10.30 pagi selepas operasi pencarian yang berlangsung selama tiga hari.
Menurut beliau, mayat mangsa terus diangkat ke daratan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 11 pagi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, dalam kejadian Ahad lalu, mangsa yang sedang melakukan kerja mengangkut baja dengan menggunakan feri barang dilaporkan terjatuh semasa menyeberang sungai.
Operasi mencari dan menyelamat terus dijalankan menggunakan dua bot dengan kaedah pencarian permukaan air.
Operasi pencarian menyelusuri sungai berkenaan turut dibantu beberapa bot daripada agensi lain dan orang awam.