KOTA MARUDU: Pembangunan Pekan Baharu Tandek yang bernilai RM64juta bermula pada pertengahan tahun ini dilihat akan mengubah wajah Tandek sebagai sebuah kawasan komersial yang baharu.
Pembangunan itu meliputi 95 unit bangunan komersil membabitkan rumah kedai dua tingkat termasuk sederet kedai tiga tingkat.
Pekan lama yang sudah berusia lebih 50 tahun di Tandek akan dibangunkan semula sebagai pusat transit komersial sesuai dengan lokasinya yang berada di laluan utama Kota Marudu dan Pitas.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Peerumahan dan Bandar (LPPB), Datuk Masiung Banah berkata, seluas 15.5 ekar kawasan tanah telah diwartakan untuk pembangunan projek pekan baharu itu.
Beliau berkata, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor juga bersetuju dengan cadangan LPPB itu selepas mengadakan lawatan di tapak pembinaan tersebut bersebelahan tapak tamu mingguan Tandek, kelmarin.
Masiung berkata, pelan cadangan projek Pekan Baharu Tandek sudah tersedia dan sedang dalam proses menyediakan draf perjanjian usahasama dengan pemaju tempatan.
Beliau berkata, LPPB juga akan membina 103 unit rumah kos sederhana di Kampung Ongkilan terletak 4km dari pekan Tandek.
Menurutnya, kedua-dua projek itu bernilai RM92 juta dimana sejumlah RM64 juta untuk membangunkan pekan baharu dan selebihnya RM28 juta untuk membina perumahan dua tingkat kos sederhana.
Katanya, pembinaan tambahan rumah kos sederhana di Kampung Ongkilan merupakan fasa kedua yang merangkumi kawasan seluas lima ekar tanah rizab LPPB.
Semasa lawatan itu, Hajiji diberi taklimat ringkas oleh Masiung dan Pengurus Besar LPPB, Rosemery Ahping mengenai status cadangan Pekan Baharu Tandek.
Pada minggu lalu, LPPB turut mengumumkan pembangunan Pekan Baharu Tungku dan pembangunan itu memerlukan kos sebanyak RM194 juta. Ia akan menempatkan 95 unit rumah kedai termasuk sederat pusat membeli belah dan 624 unit rumah mampu milik. – BorneoToday