Pejabat Parlimen Beluran Agih 7,000 Bakul Makanan Kepada Mangsa Banjir

bakul-makakan.jpg
Kongsi Bersama

BELURAN: Bagi meringankan beban penduduk kampung yang terkesan akibat banjir, Pejabat Parlimen Beluran mengagihkan sebanyak 7,000 bakul makanan di kawasan Parlimen itu.

Agihan bakul makanan tersebut menerusi MAFI Prihatin di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dilakukan bermula Sabtu lepas di kampung-kampung yang terjejas banjir di Daerah Kecil Paitan, Telupid dan Beluran.

Pengagihan bantuan makanan tersebut dibuat dengan kerjasama pasukan keselamatan seperti Polis, Bomba, Tentera, Angkatan Pertahanan Malaysia (APM), RELA, petugas kesihatan dan sukarelawan.

Turut membantu mengagihkan bakul makanan itu adalah Srikandi dan Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Beluran.

Di kawasan Paitan, agihan bakul makanan di kampung-kampung yang terjejas antaranya di Sungai-Sungai, Pamol, Golong, Kokos, Botition, Basai, Gana Jati, Kampung Tagas-Tagas dan Rungus.

Di Telupid, antaranya di Kampung Berayong, Nangoh dan Ulu Sapi, manakala di kawasan daerah Beluran membabitkan Kampung Klagan Jaya, Klagan Baru, Balaban, Ranpek, Piuludan, Muanad 1, Muanad 3 dan Manduring.

Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Samad Jambri berkata sebahagian bakul makanan tersebut diagih awal pada Sabtu lepas di beberapa kampung yang dinaiki air banjir di Beluran, Telupid dan Paitan.

Bagi kampung yang terputus hubungan akibat jalan raya dinaiki air, agihan bakul makanan dilakukan dengan menggunakan bot dan kereta pacuan empat roda termasuk dengan kerjasama pemimpin masyarakat dan penduduk kampung, katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Labuk berkata pihaknya akan memastikan agihan bantuan bakul makanan itu sampai kepada mana-mana penduduk kampung yang terkesan banjir bagi memastikan keperluan makanan mereka mencukupi. – sabah360online


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top