Pejabat baharu Baitulmal di Tawau mudahkan urusan penduduk

rina.jpg

Rina menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penghuni Rumah Warga Tua Tawau. (Kredit foto: FB Rina Hj Jainal)

Kongsi Bersama

TAWAU: Pembukaan pejabat Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (Baitulmal) di daerah ini dilihat mampu memudahkan urusan penduduk di kawasan pantai timur Sabah pada masa akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan Rina Haji Jainal berkata, pihaknya sangat mengalu-alukan pembukaan cawangan Baitulmal di daerah ini.

“Saya yakin semua urusan atau penerangan yang melibatkan perkhidmatan Baitulmal akan lebih mudah selepas pembukaan cawangan itu nanti.

“Perkhidmatan Baitulmal ini dapat menyelesaikan masalah-masalah kecil dengan segera dan membantu memudahkan urusan penduduk di sekitar pantai timur Sabah tanpa perlu ke Kota Kinabalu,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan Sabah berkata ketika ditemui dalam Program Ziarah Hijrah Rumah Warga Tua Sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Perbandaran Tawau di sini, pada Sabtu.

Program itu adalah anjuran bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dengan Baitulmal Negeri Sabah.

Mengulas mengenai program ini, Rina berkata, ia adalah satu inisiatif murni bagi menerapkan semangat kasih sayang kepada warga emas di Rumah Warga Tua Tawau.

“Program yang dianjurkan ini dapat membawa imej yang lebih baik khususnya umat Islam bagi menyantuni semua masyarakat majmuk di Sabah,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Tadbir Perbadanan Baitulmal Sabah Cawangan Tawau, Smith Robert berkata, pejabat baharu itu masih belum dibuka kepada awam buat sementara waktu ini.

Katanya, cawangan Baitulmal di Tawau ini hanya membabitkan urusan berkaitan perkhidmatan kutipan Baitulmal dan bukan untuk tujuan kelulusan mendapatkan permohonan sebarang jenis bantuan.

“Bagi urusan berkaitan sebarang permohonan bantuan Baitulmal akan dipanjangkan ke ibu pejabat di Kota Kinabalu untuk kelulusan,”katanya.

Menurutnya, antara perkhidmatan kutipan yang dijalankan adalah berkaitan bayaran fidya, kaffarah, pengurusan harta pusaka membabitkan hibah dan wasiat, kumpulan wang amal jariah, wang tak patuh syariah dan harta tidak dituntut.

“Kita juga akan membuka satu lagi cawangan Baitulmal di Sandakan untuk mengembangkan lagi perkhidmatan Baitulmal di seluruh negeri ini,”katanya.

Terdahulu seramai 40 penghuni di Rumah Warga Tua Tawau disantuni dan menerima bantuan daripada JHEAINS dan Baitulmal.

Turut hadir, Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Mohd Shoffian Mohd Said dan Penolong Pengarah Bahagian Pejabat Kebajikan Bahagian Tawau, Nurul Fadilah Abd Hamid. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top