Pegawai Pertanian Terima Rasuah RM22,300 Didakwa Di Mahkamah

mahkamah-tinggi-kk.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Seorang pegawai pertanian mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan menerima wang suapan bernilai RM22,300 di Mahkamah Khas Rasuah semalam.

Tertuduh, Zainal Aliasan,33, didakwa atas enam pertuduhan menerima wang suapan bagi mempercepatkan urusan tuntutan pembayaran sebuah syarikat di Pejabat Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Keningau antara Mei hingga Julai 2020.

Hakim, Abu Bakar Manat memerintahkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM20,000 dan deposit RM5,000 beserta dua penjamin tempatan.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima wang suapan RM4,950 daripada Fong Yoon Hing yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Khalifah Berjaya yang dimiliki sahabat tertuduh bernama Bakri Basri bagi mempercepatkan tuntutan pembayaran syarikat Fong Yoon Hing dari Pejabat Risda Keningau.

Untuk pertuduhan kedua hingga keenam, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama iaitu menerima wang suapan menerusi akaun bank di lokasi yang sama antara 2 Mei hingga 28 Julai 2020.

Atas kesemua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam turut diperintahkan melapor diri di pejabat SPRM Keningau setiap sekali dalam tempoh dua bulan dan diarah menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Dzulkarnain Rousan.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top