Seorang pegawai penguat kuasa kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyelewengkan barang bukti berupa wang tunai bernilai RM25 juta.
Shahrum Nizam Baharuddin, 40, tenang ketika membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan semasa prosiding terbuka di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi tadi.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan jenayah tersebut membabitkan mata wang dolar AS berjumlah AS$6.94 (RM25 juta).
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di aras 14 Blok C, Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, antara 17 Dis 2018 dan 9 April 2019.
Jika sabit kesalahan Shahrum Nizam berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebat serta denda, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
Hakim, Suzana Hussin, kemudian menetapkan 18 Feb ini untuk sebutan semula kes tersebut. Dia juga tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.
Pihak pendakwaan hari ini turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa Shahrum Nizam akan dihadapkan dengan 110 lagi pertuduhan baru membabitkan kes pengubahan wang haram.
Bagaimanapun, timbalan pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin tidak mendedahkan bila pertuduhan baru itu akan dihadapkan kepada tertuduh.
Baca seterusnya di sini