Pegawai Imigresen Terlibat Sindiket Ada Rekod Samun, Curi Kereta

sendiket-imigresen.jpg
Kongsi Bersama

PETALING JAYA: Salah seorang daripada 34 pegawai imigresen yang ditahan atas penglibatan mereka dalam sindiket imigresen mempunyai rekod jenayah samun dan curi kereta, kata sumber yang tahu perkara itu.

Menurut sumber, pegawai berpangkat rendah gred KP19 itu memiliki 4 kereta mewah yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan terhadap sindiket berkenaan.

Kereta mewah tersebut terdiri daripada Rolls-Royce Phantom, Mustang, Audi serta Range Rover dan kesemuanya disimpan bagi pihak pegawai itu oleh seorang egen pekerja asing.

“(Berdasarkan) semakan rekod polis, anggota imigresen itu juga mempunyai rekod jenayah lampau dalam kes samun dan curi kenderaan.

“Dipercayai beliau merupakan ahli sindiket mencuri kenderaan dan samun yang diketuai ejen (pekerja asing),” kata sumber itu.

Pegawai berkenaan juga dipercayai terlibat dalam kongsi gelap.

“Bagaimanakah seseorang yang mempunyai rekod jenayah lampau boleh dilantik ke jawatan perkhidmatan awam?” soal sumber itu.

Selain itu, sumber itu berkata, ejen pekerja asing terbabit dikehendaki polis berhubung kes samun dan curi kereta serta konspirasi jenayah berkaitan sindiket pelacuran melibatkan warga China.

12 ejen pekerja asing ditahan dalam operasi dikenali Ops Selat dan kesemua mereka merupakan anggota sindiket penyeludupan manusia antarabangsa.

Sepuluh orang awam lain turut ditahan kerana membenarkan akaun bank mereka digunakan untuk menyimpan rasuah yang dikutip oleh pegawai imigresen.

Lebih RM800,000 wang tunai, 26 kereta mewah dan 4 motosikal berkuasa tinggi dirampas.

Ketika dihubungi, pengarah siasatan SPRM Norazlan Mohd Razali mengesahkan 56 orang ditahan setakat ini.

“Kami akan mengambil tindakan yang tegas terhadap ejen terbabit. SPRM akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen dan polis untuk melanjutkan siasatan berdasarkan beberapa undang-undang,” katanya.

Terdahulu, dilaporkan bahawa sindiket itu disediakan untuk majikan pekerja asing yang mahu mereka kekal di sini atau pulang ke tanah air mereka.

Sindiket itu beroperasi berdasarkan 2 kaedah, iaitu menyediakan “pasport terbang” kepada mereka yang memasuki Malaysia dengan menggunakan visa lawatan, tetapi bekerja di sini secara tak sah.

Ejen pekerja terbabit akan mengutip pasport mereka dan membayar pegawai imigresen untuk mengecop pasport supaya ia menunjukkan mereka telah meninggalkan negara ini sebelum penamatan tempoh tinggal selama 90 hari di bawah visa lawatan dan kemudian memasuki semula negara secara sah.

Modus operandi lain ialah dengan “menyediakan kaunter” kepada migran yang disenarai hitam atas kesalahan imigresen.

Migran terbabit akan menuju ke kaunter khas ini di lapangan terbang dan membayar RM6,000 untuk meninggalkan negara walaupun mereka disenarai hitam daripada berbuat demikian. – FMT

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top