PENAMPANG: Kerajaan Negeri Sabah sedang mempertimbang memberi peranti elektronik kepada pelajar kurang berkemampuan di negeri itu sebagai kemudahan untuk mereka mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata kerajaan negeri amat memahami kekangan serta cabaran dihadapi ibu bapa di negeri ini dalam menyediakan keperluan itu demi memastikan keselesaan pembelajaran anak-anak.
“Kami faham ramai pelajar kurang berkemampuan di Sabah menghadapi masalah ini (pemilikan peranti elektronik),” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau keadaan jalan runtuh di KM44.7 Jalan Penampang-Tambunan di sini, pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika ditanya langkah kerajaan negeri untuk menangani masalah pemilikan peranti elektronik dalam kalangan pelajar di Sabah yang kini menjalani sesi PdPR serta usaha meningkatkan keupayaan liputan internet di negeri itu.
Tahun lepas, Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Dr Mistirine Radin berkata sebanyak 52 peratus pelajar di negeri itu tidak mempunyai akses internet dan peranti mudah alih seperti telefon pintar dan komputer untuk mengikuti sesi PdPR dalam talian.
Mengulas liputan internet di Sabah, Hajiji berkata Kerajaan Persekutuan komited untuk meningkatkan keupayaan jalur lebar di negeri ini menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) bernilai RM2.5 bilion.
Menerusi inisiatif itu, Hajiji berkata terdapat lebih 400 menara baharu akan dibina dan kira-kira 2,000 pemancar sedia ada akan dinaik taraf kepada 4G dalam tempoh dua tahun.
Bagaimanapun, Hajiji tidak menolak kemungkinan akan berlaku sedikit kelewatan dalam melaksanakan pembangunan JENDELA susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun beliau tetap optimis kerja-kerja akan dapat diteruskan apabila negara memasuki fasa penguatkuasaan PKP Bersyarat.
Terdahulu, Hajiji berkata kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan segera membabitkan kira-kira RM150 juta yang diperlukan bagi membaik pulih 41 jalan rosak berikutan hujan berterusan melanda Sabah dua minggu lalu.
Mengenai jalan runtuh di KM44.7 Jalan Penampang-Tambunan, Hajiji berkata kos pembaikan jalan berkenaan dianggarkan berjumlah RM5 juta, dan pada masa ini, kerja-kerja pembaikan masih dijalankan untuk keselamatan pengguna jalan raya.
Hadir sama meninjau keadaan jalan runtuh itu ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tambunan, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Sabah Ir Ali Ahmad Hamid.
— BERNAMA