KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Harapan (PH) Sabah meminta dua bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Harris Salleh dan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan tampil memberi penjelasan mengenai perjanjian bersama Petronas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick dan Adun Luyang Phoong Jin Zhe dalam satu kenyataan bersama mempersoalkan tindakan kedua-dua bekas Ketua Menteri itu yang tidak pernah membuat kenyataan atau memberi penjelasan mengenai perjanjian yang ditandatangani.
“Dua bekas Ketua Menteri Sabah itu telah tampil dengan kenyataan berhubung masalah pendatang asing di Sabah dan menjadi tajuk utama berita-berita di negeri ini.
“Bagaimana pula dengan Akta Pembangunan Petroleum (PDA)?, kedua-dua mereka telah menandatangani perjanjian bersama Petronas yang merupakan satu kesilapan besar hingga Sabah telah kehilangan bidang kuasa ke atas sumber minyak dan gas buat selama-lamanya.
“Kesilapan itulah yang membantutkan pembangunan di Sabah dan sehingga kini masih berhadapan dengan rangkaian jalan raya yang teruk, bekalan air dan elektrik yang bermasalah, kerencatan kemudahan kesihatan dan pendidikan serta ameniti sosial lain terutamanya di kawasan luar bandar,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
ADUN Pakatan Harapan (PH) Sabah itu berkata, selaku Ketua Menteri yang menandatangani perjanjian bersama Petronas tersebut, mereka menggesa dan mencabar kedua-dua bekas ketua menteri itu tampil memberi penjelasan mengapa mereka membuat keputusan tersebut.
“Selama ini mereka tidak pernah membuat kenyataan atau memberi penjelasan. Maka selagi itulah mereka akan diingati sebagai dua pemimpin yang telah melakukan kesilapan besar yang tidak dapat dimaafkan oleh rakyat Sabah.
“Selaku generasi baharu Wakil Rakyat Sabah, kami mahu menjadikan kesilapan itu sebagai satu ikhtibar. Semoga Kerajaan Sabah hari ini dan yang akan datang tidak mengulangi kesilapan sedemikian.
“Sebaliknya, kita harus mempertahankan hak kita yang masih ada dan terus menuntut penunaian hak kita sepertimana dalam Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.
Susulan itu, Ewon dan Jin Zhe bersama beberapa lagi Adun dan Ahli Parlimen Sabah telah memfailkan Saman Pemula (OS) di Mahkamah Tinggi untuk menuntut pelaksanaan pemberian 40 peratus hasil persekutuan di Sabah seperti dinyatakan dalam Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan. – Borneo Today