KOTA KINABALU: Parti Cinta Sabah (PCS) hari ini menegaskan ia tidak akan berpakat atau bergabung dengan mana-mana parti, terutamanya parti dari Tanah Melayu untuk tujuan pilihan raya negeri (PRN) ini.
Sehubungan dengan itu parti tersebut mengumumkan ia akan bertanding sebanyak mungkin kerusi untuk membentuk kerajaan dan bersedia menghadapi semua parti di DUN terbabit.
Presiden PCS, Datuk Seri Anifah Aman menegaskan perkara itu selepas Pengerusi Barisan Nasional, Zahid Hamidi, baru-baru ini dilapor berkata gabungan itu sedang berunding dengan PCS untuk membentuk suatu gabungan pada PRN nanti.
“Kami akan bertanding semua kerusi dan tidak akan berpakat atau bergabung dengan mana-mana parti, terutamanya parti dari Tanah Melayu untuk tujuan pilihan raya ini.
“Tiada perbincangan atau tolak ansur mengenai perkara ini seperti yang dilaporkan di media tertentu,” katanya di Facebook hari ini.
Baru-baru ini, Zahid dilapor berkata BN sedang memulakan rundingan untuk pembahagian kerusi di Sabah, dengan PCS, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Liberal Demokratik (LDP), dan Parti Maju Sabah (SAPP).
“Insya-Allah kita akan bentuk satu gabungan parti-parti ini bersama BN Sabah,” katanya.