PCS, LDP Masih Ada Masa Depan

AnifahAmanSabah.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Parti Cinta Sabah (PCS) dan Parti Liberal Demokratik (LDP) masih mempunyai masa hadapan walaupun pada dasarnya kedua-dua parti itu kalah teruk pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah baru-baru ini.

Menurut portal FMT, penganalisis-penganalisis politik berpendapat, sekiranya dengan masa yang cukup dan pendekatan yang betul kedua-dua parti itu mampu memberi cabaran yang lebih hebat pada pilihan raya yang akan datang.

Lapor portal itu, Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Lee Kuok Tiung menyatakan bahawa pengundian akan menjadi tolok ukur yang tepat bagi kedua-dua parti itu menilai apa yang perlu mereka lakukan untuk mendapatkan lebih banyak sokongan daripada rakyat sebelum pilihan raya akan datang.

“Sudah tentu ada masa depan untuk kedua-duanya. Tetapi sejarah menunjukkan bahawa anda mesti mempunyai gabungan politik atau pakatan (untuk memenangi kerusi). Ianya tidak akan memberi banyak kesan sekiranya terus melakukannya sendiri, “katanya kepada FMT, sambil menambah bahawa pilihan raya mengejut juga menyebabkan semua pihak tidak bersedia.

“Sekiranya mereka (LDP dan PCS) memiliki lebih banyak waktu untuk mempromosikan parti dan calon mereka, saya rasa mereka dapat memberikan lebih banyak impak.

“Buat masa ini, mereka perlu memperkemaskan parti mereka – mulakan dengan membentuk pemimpin masa hadapan dan calon yang berpotensi. Tidak boleh ada calon ad-hoc atau calon payung terjun,” katanya.

Digembar-gemburkan sebagai ‘kuasa ketiga’, PCS dan LDP dianggap sebagai pencabar terdekat gabungan Warisan Plus dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN lalu berbanding dengan pihak lain yang lebih kecil.

Namun, walaupun kedua-dua parti itu dipimpin oleh veteran-veteran politik yang hebat, iaitu PCS oleh bekas menteri luar negeri Datuk Seri Anifah Aman dan LDP oleh mantan ketua menteri Tan Sri Chong Kah Kiat, tidak ada calon mereka berjaya memperoleh satu kerusi pun semasa PRN lalu.

Sebilangan besar calon di kedua-dua parti kehilangan deposit termasuk Chong yang bertanding di kerusi Inanam.

Anifah pula lebih bernasib baik kerana menduduki tempat kedua dalam pertempuran empat penjuru untuk kerusi Bongawan yang dimenangi oleh calon Warisan Dr Daud Yusof.

FMT juga melaporkan seorang lagi penganalisis, Tony Paridi Bagang dari UiTM Sabah menyatakan bahawa walaupun PRN lalu adalah pil pahit untuk ditelan, PCS dan LDP harus menerima kekalahan mereka sebagai sebahagian daripada proses dan berusaha memperbaiki kelemahan mereka dari masa ke masa.

Beliau juga percaya bahawa kedua-dua parti itu tidak mempunyai ruang waktu yang cukup ketika menghadapi PRN tempoh hari.

“Sebagai contoh, PCS baru saja melakukan penjenamaan semula dan orang masih belum mengetahui mengenainya. Mereka perlu meneruskan penjenamaan semula dan pada masa yang sama menyusun semula pendekatan mereka.

“Begitu juga LDP, ia harus melakukan pencarian jiwa dan kembali kuat dengan menawarkan sesuatu yang segar. Mungkin, parti itu boleh mempertimbangkan untuk mengadakan beberapa pakatan strategik dengan Warisan Plus atau GRS, ”katanya.

Semasa kempen pengundian Sabah, tema yang mendasari kedua-dua parti tersebut adalah mengembalikan hak-hak Sabah mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Pada masa yang sama, PCS dan LDP mengambil pendekatan bahawa mereka akan menyokong kerajaan persekutuan untuk menyelesaikan masalah hak negeri yang telah lama wujud.

PCS bertanding di semua 73 kerusi sementara LDP bertanding 46 kerusi, dengan kedua-dua parti tetap bertekad untuk kekal bebas daripada gabungan atau perkongsian dengan mana-mana pihak pada PRN itu.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top