PBStar nama gabungan PBS dan STAR?

dr-jeffrey-1.jpg

Dr. Jeffrey (Gambar fail BERNAMA)

KOTA KINABALU: Langkah untuk menggabungkan dua parti Kadazandusun-Murut (KDM) terbesar Sabah iaitu Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) terus berjalan dan akan diselesaikan secepat mungkin.

Presiden STAR, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata proses itu telah bermula di peringkat bahagian Tambunan di mana beliau menerajui gabungan itu, manakala Datuk Daniel Kinsik, Ketua PBS Bahagian Tambunan menjadi timbalannya.

Menurut Jeffrey, gabungan itu diharap dapat direalisasikan sepenuhnya sebelum pilihan raya negeri nanti.

“Kami ingin menyelesaikannya secepat mungkin, sama ada ada pilihan raya atau tidak. Tetapi satu-satunya perkara ialah tiada pihak yang mahu hilang dalam proses itu,” katanya sebagaimana dilaporkan oleh Malay Mail.

Menurut beliau lagi, bagi mengekalkan nama dan identiti kedua-dua parti gabungan itu dinamakan kepada ‘PBStar’. Dengan cara itu, kedua-duanya mengekalkan nama dan identiti masing-masing — Parti Bersatu Sabah Tanah Airku.

Jeffrey berkata penggabungan itu telah diterima baik, terutamanya oleh abangnya Tan Sri Pairin Kitingan, yang merupakan pengasas PBS dan Huguan Siou, pemimpin tertinggi kaum Kadazandusun dan Murut (KDM).

Tambah beliau, parti seperti Parti Maju Sabah (SAPP), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno), dan Pertubuhan Kinabalu Bersatu Progresif (Upko) turut menyokong penggabungan itu.

PBS dan STAR kini masing-masing memiliki tujuh dan enam kerusi, dalam Dewan Undangan Negeri Sabah dan kedua-duanya adalah sebahagian daripada gabungan pemerintah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top