KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) sedia merampas kerusi Parlimen Tuaran menerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamparuli dan Kiulu sentiasa menjadi kubu kuat PBS dan itu sebabnya beliau yakin mampu merampas kerusi Parlimen Tuaran yang kini milik Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) itu berkata, beliau yakin dengan sokongan daripada rakyat di DUN Sulaman dan Pantai Dalit, usaha itu mampu direalisasikan.
“Kita jangka PRU akan diadakan paling lambat pada tahun depan dan Parlimen Tuaran antara kerusi yang kita mahukan.
“Jentera PBS sudah bersedia dan bertambah kukuh dengan peningkatkan keahlian dan cawangan baharu.
“Parti kita akan terus berkembang susulan ADUN kita berkhidmat dengan cukup baik. Malah, penyokong akar umbi cukup jelas dengan perjuangan parti dan akan terus memberi sokongan terhadap PBS,” katanya selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan PBS Tamparuli pada Ahad.
Tambah Ahli Parlimen Kota Marudu itu, GRS yang telah didaftarkan pada 18 Mac lalu akan terus berjuang untuk menuntut hak Sabah.
Hadir sama ialah Timbalan Presiden PBS, Datuk Jahid Jahim dan Setiausaha Agung PBS, Datuk Joniston Bangkuai.