PBS Tuaran Adakan Mesyuarat Gabungan, Persediaan Hadapi PRU-15

PBS-Tuaran.jpg

TAMPARULI: Parti Bersatu Sabah (PBS) Tuaran telah memulakan persediaan bagi menghadapi Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU-15), dengan mengadakan mesyuarat gabungan pada Rabu.

Empat bahagian PBS yang terlibat dalam mesyuarat itu ialah Tuaran, Tamparuli, Kiulu, Sulaman dan Dalit.

Bagi memenuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, kehadiran terpaksa dihadkan hanya melibatkan pemimpin tertinggi Bahagian masing-masing.

Mesyuarat yang diadakan di Pejabat PBS Bahagian N15 Kiulu itu dipengerusikan Timbalan Presiden, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) N14 Tamparuli, Datuk Jahid Jahim.

Menurut Jahid, mesyuarat itu adalah bagi menyusun rundingan bagi membina struktur di peringkat Parlimen Tuaran.

“Ini termasuk penubuhan jawatankuasa yang akan berbincang mengenai persiapan pilihan raya Parlimen nanti,” katanya.

Untuk rekod, di kawasan Parlimen Tuaran, dua kerusi DUN telah dimenangi oleh PBS pada Pilihanraya Negeri Ke-16 (PRN-16) lalu iaitu Tamparuli dan Kiulu.

Hadir sama Setiausaha Agung PBS, yang juga Adun Kiulu, Joniston Bangkuai, Setiausaha Politik Kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar, pemimpin tertinggi di peringkat pusat dan keempat-empat Bahagian parti tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top