PBS Tidak Serius Tuntut Hak Sabah- Exco Generasi Muda UPKO

Maxcolvin-Upko.jpg

Parti Bersatu Sabah (PBS) tidak serius menuntut hak-hak Sabah, kata Ketua Exco Generasi Muda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Maxolvin Sintore (gambar).

Beliau berkata, ini jelas melalui kenyataan-kenyataan presiden parti itu Datuk Dr. Maximus Ongkili yang lebih mempertahankan Kuala Lumpur daripada hak-hak rakyat Sabah.

“Sebagai Menteri Hal Ehwal Sabah Sarawak, Dr. Maximus seharusnya lebih lantang bersuara untuk Sabah dan Sarawak. Ironinya, pada hari ini, beliau kelihatan lebih mempertahankan Kuala Lumpur.

“Prinsip PBS seperti itu mungkin menjadi salah satu faktor kenapa Kawasan Kota Marudu yang diwakili Dr. Maximus sejak puluhan tahun lamanya antara 10 kawasan termiskin di Malaysia.

“Lebih menyedihkan lagi, Ketua Pemuda PBS, Christoper Mandut iaitu Setiausaha Politik Dr. Maximus, yang baru dilantik sebagai Pengerusi KKIP Property Sdn. Bhd, senada dengan Dr. Maximus.

“Sebagai pemimpin muda, beliau seharusnya lebih berani dan bertenaga bersuara untuk rakyat Sabah yang masih jauh ketinggalan dari segi pembangunan dan ekonomi terutama di Kawasan pedalaman,” kata Maxolvin dalam laporan Nabalu News.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Dr. Maximus yang menggesa Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak supaya tidak menghasut sentimen anti-Putrajaya.

“Kenyataan PBS mempertahankan Kuala Lumpur yang terbukti gagal memberi kemajuan sama rata terhadap Sabah menyebabkan “sentimen anti-Putrajaya” wujud.

“Sebagai belia Sabah, saya ingin melihat perubahan dari segi pola pemikiran para pemimpin negeri dan negara pada masa hadapan. Ini boleh dicapai melalui perubahan pemimpin, tidak kira di blok kerajaan atau pembangkang.

“Saya percaya dengan Undi18 yang akan dilaksanakan pada masa terdekat ini, sudah tiba masanya pemimpin muda dengan idea yang lebih baharu diberi peluang memimpin Sabah dan Malaysia,” katanya.

Maxolvin berkata, Sabah mempunyai tiga pilihan terhadap persekutuan Malaysia iaitu pertama berpuas hati dengan layanan Kuala Lumpur terhadap Sabah dari segi ekonomi, pembangunan dan keselamatan.

“Kedua, terus mendesak Kuala Lumpur supaya melihat Sabah sebagai rakan kongsi dalam Persekutuan Malaysia. Ini harus diterjemahkan dalam bentuk pembahagian hasil yang dikutip di Malaysia secara adil selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963.

“Tuntutan ini sedang berlaku pada hari ini kerana secara kasarnya, Bajet 2022 tidak menunjukkan Sabah adalah rakan sekutu dalam pembentukan Malaysia.

Ketiga, sekiranya layanan terhadap Sabah masih tidak berubah maka tidak hairan rakyat negeri ini mahupun pemimpin Sabah tergerak mengikuti langkah Singapura yang keluar Malaysia pada tahun 1965. Saya berharap perkara ini tidak akan berlaku,” katanya. – Berita Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top