KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) tidak pernah berusaha untuk mewujudkan sebarang kerjasama dengan UMNO, kata naib presidennya Datuk Arthur Sen.
NST semalam melaporkan Arthur berkata demikian sebagai menafikan dakwaan Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin bahawa PBS sedang berusaha untuk menjalin hubungan dengan UMNO.
Bung Moktar membuat dakwaan itu semasa mesyuarat UMNO Sepanggar kelmarin.
“Bung Moktar tidak seharusnya menjadikan PBS sebagai topik ucapan provokasi untuk mendapatkan perhatian.
“Dia orang tua tapi perangai macam budak-budak. Awak kata awak tak nak bekerjasama dengan PBS. Bila PBS pernah minta kerjasama dengan awak?” Arthur berkata dalam satu kenyataan yang dipetik NST.
Arthur berkata, dalam pilihan raya, kemenangan atau kekalahan ditentukan oleh pengundi, dan rakyat bebas memilih sama ada UMNO atau PBS akan membentuk kerajaan.
PBS, katanya, pernah mengalami suka duka berada dalam kerajaan dan juga pembangkang.
“Kita sudah terbiasa dengan perkara ini. Apa yang penting ialah kita kekal teguh dengan prinsip asas kita memperjuangkan hak Sabah seperti yang digariskan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), untuk maruah manusia, keselamatan, dan kewarganegaraan,” katanya yang turut mengkritik ‘Langkah Kinabalu’ Bung Moktar tahun lalu, yang menurutnya cuba menjejaskan kestabilan kerajaan negeri.