KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) tidak akan bertanding di kerusi tradisi Parlimen Batu Sapi dalam pilihan raya kecil yang bakal berlangsung bulan Disember ini.
Menurut Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, keputusan tersebut dibuat pada Mesyuarat Biro Politik baru-baru ini memandangkan situasi COVID-19 yang semakin teruk di Sabah.
Katanya, Sabah mencatat jumlah kes positif COVID-19 Tertinggi di negara ini, maka PBS memutuskan untuk tidak bertanding di kerusi kubu kuatnya.
“Sebagai parti berbilang kaum, PBS mendapat sokongan yang berterusan daripada ahli-ahli kami di Batu Sapi,” kata Ongkili.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) itu juga menambah PBS meletakkan keutamaan kepada keselamatan dan kesihatan masyarakat Sandakan dan pengundi Batu Sapi pada masa ini.
Menurut Ongkili, beliau turut memaklumkan Presiden Perikatan Nasional (PN) dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) , Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan sokongan parti berkenaan terhadap mana-mana rakan kongsi dalam GRS yang bakal bertanding pada pilihanraya kecil Batu Sapi nanti.
“Walaupun belum diputuskan sama ada rakan-rakan lain dalam GRS akan bertanding, PBS komited dan akan memberi sokongan kepada bakal calon dan akan bekerja keras untuk memastikan kemenangan di pihak GRS,” ujar beliau.
Kerusi Parlimen Batu Sapi telah diisytiharkan kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Liew Vui Keong dari Parti Warisan Sabah pada 2 Oktober lalu akibat jangkitan paru-paru.
Suruhanjaya Pilihan Raya telah mengumumkan tarikh 23 November ini sebagai hari penamaan calon, undi awal pada 1 Disember, dan tarikh pengundian pada 5 Disember.