PBS Teruja Untuk Bekerjasama Dengan Hajiji

maximus.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) teruja untuk bekerjasama rapat dengan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan akan memberikan ketua menteri yang baharu itu sokongan dan kerjasama sepenuhnya, dalam pembentukan kerajaan Sabah.

Sambil menyifatkan keputusan mencalonkan Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah ke-16 adalah amat bersesuaian sekali, presiden PBS Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili berkata, keputusan itu amat konsisten dengan cadangan dan pandangan PBS ketika proses Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16, ketika parti lain membuat keputusan mereka berdasarkan kepada keputusan PRN yang baru selesai.

Beliau berkata, PBS juga yakin dengan sokongan ahli Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Hajiji yang merupakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah akan mampu melaksanakan tugasnya dengan baik berasaskan kepada pengalaman luas beliau sebagai bekas anggota kanan Kabinet Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah selama tujuh penggal.

“PBS juga percaya Hajiji akan mampu melaksanakan mandat yang diberikan rakyat dan mengetuai Sabah dan pentadbiran negeri sebagai Ketua Menteri untuk semua orang Sabah,” kata Ongkili dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, parti-parti dalam GRS, yang terdiri daripada PN, Barisan Nasional (BN) dan PBS, secara bersama bersetuju untuk menamakan Hajiji, yang juga Ketua Bersatu Sabah, sebagai calon Ketua Menteri Sabah yang baharu.

Hajiji, Ahli Dewan Undangan Negeri Sulaman, mengesahkan perkara tersebut dan beliau akan mengangkat sumpah sebagai ketua menteri di Istana Negeri, esok pagi.

“Kami yakin menerusi pembentukan kerajaan negeri Sabah yang baharu di bawah GRS, Sabah akan dapat mencatatkan kejayaan baharu dan rekod yang boleh kita banggakan,” kata Ongkili.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top