KOTA KINABALU: Hasrat Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk bekerjasama dengan Parti Bersatu Sabah (PBS) disambut baik oleh Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili.
Presiden PBS itu memberi isyarat lampu hijau untuk bekerjasama dengan Warisan demi kepentingan rakyat Sabah.
“Kita sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik tempatan. Sebagai sebuah parti yang berbilang kaum, kami kekal memperjuangkan hak-hak Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.
“PBS juga sentiasa berjuang untuk mewujudkan anti lompat parti, melindungi dan mempertahankan keselamatan Sabah terutama dalam menangani isu pendatang asing tanpa izin (PATI) demi rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Maximus berkata, berdasarkan perjuangan itu mereka sentiasa mengalu-alukan rakan kerjasama yang mempunyai aspirasi dan perjuangan politik yang sama.
Katanya, mereka sentiasa terbuka untuk mencari kawan dan rakan kongsi bagi memastikan Sabah menjadi lebih baik.
“Kami mengambil maklum tentang kesediaan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal untuk bekerjasama dengan kami (PBS) demi kepentingan rakyat Sabah.
“Sebagai rakan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS), PBS sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan Warisan dan saya berharap rakan lain dalam GRS juga mengambil pendekatan sama,” katanya.
Menurutnya, PBS gembira bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melalui kerjasama dalam GRS dan Perikatan Nasional (PN).
“Kami cukup selesa dengan situasi sekarang kerana bukan hanya dapat berkhidmat kepada rakyat Sabah di peringkat nasional di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi juga Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Saya berharap hasrat untuk membentuk kerjasama politik dengan Warisan itu atas dasar persahabatan dalam politik serta ingin memperbaiki kestabilan politik negeri serta membangunkan sosio ekonomi Sabah,” katanya.
Bagi PBS, beliau berharap kepentingan strategik sebegitu akan diberi pertimbangan dan kerjasama ini adalah demi rakyat Sabah dengan niat yang ikhlas dan bukan demi kepentingan peribadi.
Kelmarin, Mohd. Shafie menyatakan hasrat dan kesediaan untuk bekerjasama dengan PBS kerana mereka mempunyai dasar perjuangan yang sama demi rakyat Sabah. – UTUSAN