PBS, STAR dijangka tandatangani memorandum kerjasama sebelum Tahun Baru Cina

julita-and-edward.jpg

Datuk Julita Majunki dan Edward Linggu

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dijangka akan menandatangani memorandum kerjasama yang antara lain bagi memperkukuh Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) Sabah Ke-17 sebelum Tahun Baru Cina tahun depan.

Setiausaha Agung PBS Datuk Julita Majunki dan Setiausaha Agung STAR Edward Linggu, dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Rabu memaklumkan bagi tujuan itu, jawatankuasa khas yang dipertanggungjawab merangka skop kerjasama itu telah mengadakan mesyuarat pertamanya semalam.

“Perbincangan mesyuarat itu juga tertumpu kepada merumuskan butiran kerjasama, bagaimana kedua-dua parti boleh menyumbang kepada matlamat untuk perkukuhkan GRS.

“Meskipun tempoh kerajaan negeri sekarang berakhir Oktober 2025, namun jalinan persefahaman antara dua parti itu perlu diperkukuh, kerana terdapat tanda-tanda Pilihan Raya Negeri Ke-17 diawalkan ke tahun 2024,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dilaporkan tidak menolak kemungkinan PRN Sabah diawalkan, walaupun tempoh tamat penggal pentadbiran kerajaan negeri sekarang pada Oktober 2025.

Parti komponen GRS terdiri daripada Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), PBS, STAR, Parti Maju Sabah (SAPP), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Liberal Demokratik (LDP).- BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top