PBS, STAR dan PBRS Anggap Pelantikan Ismail Pilihan Yang Tepat

maximus-jeffrey.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pemimpin politik Sabah sedia memberi kerjasama erat dengan Perdana Menteri baharu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan barisan Kabinet yang bakal dibentuk.

Pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) masing-masing menyifatkan pelantikan Ismail Sabri sebagai pilihan yang tepat berdasarkan sifat kepimpinan dan kemampuannya sebagai menteri kanan sebelum ini.

Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, sepanjang 17 bulan lalu, Ismail Sabri berpeluang menunjukkan sifat kepimpinan selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kanan (Keselamatan). Malah, beliau memainkan peranan utama menguruskan pandemik Covid-19.

“Kami yakin Ismail Sabri akan melaksanakan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri dengan baik dan PBS sedia bekerjasama dengan beliau terutama dalam isu keselamatan di Sabah dan Sarawak serta menyelesaikan tuntutan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang masih tertangguh.

“Ismail Sabri sering bercakap tentang usaha memenuhi tuntutan MA63 dan menyokong keperluan Sabah dan Sarawak dan sekarang beliau akan mengambil alih tugas mempengerusikan Majlis Khas MA63 sebagai Perdana Menteri baharu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Maximus, yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu ini berkata, tugas yang lebih penting ketika ini sebagai Perdana Menteri dan kerajaan adalah menangi peperangan terhadap pandemik Covid-19.

Sementara itu, Presiden STAR, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, pelantikan Ismail Sabri itu akan membawa kepada kerjasama berterusan antara kerajaan Pusat dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) termasuk dalam mengembalikan hak-hak Sabah.

“Selepas beberapa minggu pergolakan politik berlaku, saya harap isu siapa yang mendapat majoriti tidak akan dibangkitkan lagi kerana semua parti harus bekerjasama bagi meneruskan usaha menangani Covid-19.

Arthur

“Saya juga mencadangkan Perdana Menteri dan kerajaan baharu akan mempertimbangkan bilik perang bipartisan untuk menangani Covid-19 dan menguruskan pemulihan ekonomi negara,” katanya.

Turut senada menyokong pelantikan Ismail Sabri ialah Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Arthur Joseph Kurup.

Beliau yakin dengan kebolehan Ismail Sabri untuk menerajui negara berdasarkan pengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan.

“Ketika ini, negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil bagi menghadapi cabaran masa kini. Ahli Jemaah Menteri yang bakal dilantik nanti perlu memberi fokus kepada usaha-usaha untuk memerangi pandemik Covid-19, memulihkan semula ekonomi negara serta membantu rakyat berdepan dengan detik sukar ini.

“Semua parti-parti politik diminta untuk mengenepikan perbezaan dan kembali bertaut demi rakyat bagi menyelesaikan isu-isu semasa yang sedang melanda negara,” katanya.- UTUSAN ONLINE


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top