KOTA KINABALU: Para perwakilan Parti Bersatu Sabah (PBS) akan membincangkan kemungkinan penggabungan parti itu dengan STAR Sabah dalam Kongres Tahunan Perwakilan PBS Ke-38 yang berlangsung hari ini.
Pemimpin-pemimpin PBS, yang kekal tidak komited dalam penggabungan itu, menyerahkan kepada perwakilan untuk memutuskan mekanisme yang mungkin menyaksikan parti itu bergabung atau meningkatkan hubungan kerja yang lebih rapat dengan STAR Sabah yang dipimpin oleh Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan .
Ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda dan Wanita PBS Ke-38 di sini semalam, Timbalan Presiden PBS Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam meninggalkan perkara itu untuk perbincangan terbuka bagi sebarang keputusan berhubung cadangan penggabungan yang disuarakan oleh Dr Jeffrey pada Julai lalu.
“Saya serahkan kepada anda (perwakilan) sayap Pemuda dan Wanita untuk membincangkan apakah mekanisme terbaik (sama ada) untuk penggabungan atau hubungan kerja,” kata Dr Gunsalam, yang kini mengetuai pasukan khas bagi mengendalikan hal ehwal parti berikutan ketiadaan presiden parti Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, yang tidak sihat sejak sekian lama.
Dr Gunsalam, yang juga Timbalan Ketua Menteri II, berkata PBS sebagai anggota Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang memerintah sudah pun mempunyai hubungan kerja dengan STAR Sabah yang juga merupakan komponen GRS.
“Apa yang jelas ialah kami di PBS akan memberi jaminan yang tidak berbelah bahagi mengenai kerjasama dalam GRS yang mana PBS dan STAR Sabah adalah komponen penting.
“Saya cadangkan kita boleh bekerjasama lebih erat dengan Sabah STAR kerana mereka sebenarnya bermula daripada PBS dan perjuangan mereka juga tidak jauh dari perjuangan kita,” katanya kepada perwakilan.
Beliau berkata situasi politik di Sabah tidak lagi seperti dahulu di mana satu parti tunggal boleh memerintah negeri ini.
“Sekarang kita kena realistik kemungkinan besar tidak ada lagi satu parti yang boleh menguasai seluruh negeri seperti era Usno (1967-76), Berjaya (1976-1985) dan PBS (1984-1994) sebelum ini.
“Kita perlu menerima bahawa kita perlu mempunyai rakan seperjuangan untuk bersama-sama menerajui kerajaan pada masa hadapan. Kita perlu memperkukuh kerjasama dalam GRS dan pucuk pimpinan PBS komited sepenuhnya untuk bekerjasama dengan GRS pada pilihan raya negeri akan datang.
“Pendekatan ini amat penting kita sampaikan ke peringkat akar umbi supaya tidak berlaku kekeliruan dalam kalangan penyokong PBS dan GRS,” katanya.
Pada masa ini, PBS memiliki tujuh kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen manakala Sabah STAR pula enam kerusi DUN dan satu parlimen.
Dalam ucapan perasmian, kedua-dua ketua pemuda PBS Christopher Mandut dan ketua Wanita Datin Malianah Ugau turut meminta perwakilan mengadakan perbincangan penting mengenai perkara itu.
Kongres Tahunan Perwakilan PBS Ke-38 yang akan berlangsung hari ini akan dirasmikan oleh Penasihat Perdana Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
Berita asal: The Star