PBS Perjuangkan MA63 Sejak 36 Tahun – Jahid

Jahid-3.jpg

Jahid (tiga kanan) menerima borang kemasukan sebagai ahli PBS daripada beberapa orang belia, sambil disaksikan Jilias (dua kiri), Boe (kanan) dan pemimpin lain.

Kongsi Bersama

TAMPARULI: Generasi muda perlu tahu bahawa perjuangan bagi menuntut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah dimulakan sejak sekian lama oleh Parti Bersatu Sabah (PBS).

Ketua PBS Bahagian N.14 Tamparuli, Datuk Jahid Jahim, berkata, anak-anak muda kini seharusnya diberi pengetahuan bahawa isu mengenai tuntutan MA63 bukanlah perkara baharu, tetapi telah lama diusahakan oleh parti itu.

“Sebenarnya, ini merupakan perjuangan utama PBS sejak ditubuhkan 36 tahun yang lalu, sering kita tuntut semasa AGM PBS setiap tahun, malah pemimpin tertinggi negara sendiri mengakui bahawa isu ini sering dibangkitkan menjelang Hari Malaysia,” katanya pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PBS Cawangan Kampung Bantayan, di sini pada Ahad.

Turut hadir Ketua PBS Cawangan Kampung Bantayan, yang juga Setiausaha Bahagian, Jilias Lintar, Ketua Pergerakan Pemuda PBS Bahagian, Boe Sindolun, Penyelaras AGM yang juga Naib Ketua 2 Bahagian, Gustin Gagah, dan beberapa kepimpinan PBS di peringkat Bahagian.

Beliau menambah, para pemuda menjadi sandaran parti untuk melestarikan serta memantapkan lagi perjuangan PBS.

Menurut Jahid, kehadiran ramai belia hari ini juga jelas menunjukkan sokongan golongan muda kepada PBS semakin meningkat.

“Hari ini saya melihat aura sokongan para belia di Bantayan, terima kasih atas kepercayaan yang diberi,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Presiden PBS  berkata, cadangan bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bakal didaftarkan tidak lama lagi juga memberi gambaran positif mengenai gabungan tersebut.

Menurutnya, sungguh pun PBS tewas di enam daripada tujuh saluran di kawasan Bantayan pada Pilihanraya Negeri Ke-16 (PRN-16) sebelum ini, namun terdapat peningkatan dari segi undi dan masih menang bagi saluran enam.

Sebagai salah satu daripada komponen parti yang membentuk kerajaan hari ini, PBS harus kuat, malah Penasihat Perdana PBS, Tan Sri Joseph Pairin Datuk Kitingan turut memberi semangat kepada orang muda untuk meneruskan perjuangan PBS yang ‘belum selesai’.

Beliau turut menyampaikan pesan Pairin kepada anak-anak muda sebagai pewaris dalam parti itu untuk meneruskan perjuangan yang belum selesai.

“Kita berada di dalam satu parti yang sejak dahulu sentiasa konsisten dalam menuntut perkara-perkara yang menjadi hak kita,” katanya.

“Sekiranya ada tanda-tanda kita termasuk mereka yang telah dipilih oleh pihak kepimpinan parti itu ‘lalai’ atau dilihat berkurangan keprihatinan mereka kepada rakyat, jangan lupa untuk menegur mereka,” ujar beliau.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top