KOTA KINABALU: Walaupun PBS merupakan anggota rasmi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), namun parti itu masih belum memutuskan kerjasama politiknya pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang, kata Presidennya Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.
Ongkili berkata, parti itu akan terus menyokong penuh GRS namun mereka juga perlu membuat keputusan sendiri jika sebarang konsensus gagal dicapai.
“Kita perlu telitikan keadaan, sudah pasti sebagai ahli dalam gabungan (GRS) kita perlu mencari kerjasama bersama, tapi jika sesuatu keputusan tidak dapat dicapai secara konsensus, sudah tentu parti perlu membuat keputusan sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis ramah mesra dan sesi dialog bersama golongan profesional, di sini pada Khamis.
Sementara itu dalam sesi dialog tadi, menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal Sabah dan Sarawak) itu turut mendedahkan ada berjumpa serta berbincang dengan pemimpin dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi mewujudkan kerjasama politik.
Katanya, perbincangan berkenaan menjurus kepada mewujudkan gabungan parti-parti dari borneo namun belum ada sebarang keputusan mengenainya dibuat.
“Bagaimanapun, saya tidak kisah mendedahkan kepada media kerana mereka (GPS) mengatakan Sabah ini susah kerana gabungan di sini turut membabitkan parti dari Semenanjung, tidak sama macam Sarawak.
“Apapun saya katakan, lebih banyak perbincangan mengenai ini (mewujudkan gabungan parti-parti dari Borneo) perlu dilakukan dan selain itu, satu formula baru perlu dicari mengenai penyertaan parti dari Semenanjung ini perlu,” katanya.