RANAU: Seminar Parti Bersatu Sabah (PBS) Zon Pantai Barat Utara yang diadakan di sini kelmarin adalah bertujuan memperkasakan lagi ahli-ahli parti, demikian menurut pengerusi jawatankuasa penganjurnya yang juga naib presiden parti itu, Datuk Dr Joachim Gunsalam.
Kata Ketua PBS Bahagian Kundasang itu, beliau yakin melalui seminar tersebut semua ahli PBS dapat memahami lebih mendalam perjuangan PBS dan dapat menangkis tomahan daripada pihak-pihak tertentu demi mempertahankan parti.
Joachim berkata demikian dalam ucapan penutupan dan penggulungan seminar itu yang diadakan di Dewan Masyarakat Ranau, di sini, kelmarin.
Sebanyak tujuh bahagian PBS terlibat dalam seminar tersebut iaitu Kundasang, Tamparuli, Kiulu, Sulaman, Pantai Dalit, Karanaan dan Paginatan bersama dengan Ketua Exco Pergerakan Wanita dan Pemuda.
Sambil menyeru semua peserta seminar agar memahami dan menghayati apa yang telah disampaikan Presiden PBS Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili dalam ucaptama beliau, Joachim berkata, seminar itu secara tidak langsung dapat memberikan persiapan penuh kepada ahli PBS dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.
“Manalah tahu PRU akan berlangsung tidak lama lagi,” katanya.
Menurut beliau, khusus bagi parlimen Ranau, satu jawatankuasa telah ditubuhkan dan ini boleh dijadikan jentera bagi membantu mana-mana ahli PBS yang akan bertanding.
“Kita akan sokong sesiapa sahaja calon yang di dokong oleh pucuk pimpinan parti sama ada dari PBS ataupun Parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS)”, katanya.
Turut hadir pada seminar itu ialah Timbalan Presiden PBS merangkap Ketua Bahagian (KB) Tamparuli, Datuk Jahid Jahim; Setiausaha Agung PBS merangkap KB Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai; KB Sulaman, Juin Saman; KB Pantai Dalit, Lizuan Sarabun; KB Karanaan, Datuk Bernard Dalinting; KB Paginatan, Arthur Sen, serta ahli-ahli Majlis Tertinggi (AMT), Stanis Buandi dan Suman Yasambun, Ketua EXCO Pergerakan Pemuda PBS Pusat, Christoper Mandut, Ketua EXCO Pergerakan Wanita, Datin Malianah Ugau serta Gerakan Belia-Beliawanis Bersatu (GBBB) Ranau dan Tuaran.