KOTA KINABALU: Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah perjanjian serta komitmen yang telah dipersetujui semua pihak semasa pembentukan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963.
Ketua Penerangan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Freddie Sua, berkata MA63 adalah asas penubuhan negara sekali gus sudah dipersetujui oleh pemimpin terdahulu.
“Sebagai satu-satunya parti tempatan Sabah dalam gabungan Barisan Nasional (BN) kami kekal komited untuk memastikan kedudukan Sabah terjamin dalam Persekutuan Malaysia.
“Ini adalah antara perjuangan utama PBRS sejak ditubuhkan pada tahun 1994,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Freddie berkata, kerajaan pada dasarnya sudah selangkah ke hadapan untuk menjamin MA63 ditunaikan.
“Buktinya, kerajaan di bawah BN dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah berjaya meluluskan pindaan perlembagaan.
“Ini bertujuan untuk mengembalikan semula kedudukan Sabah dan Sarawak setaraf dengan Semenanjung Malaysia,” katanya.
Menurutnya, kerajaan ini merupakan langkah pertama serta signifikan dalam usaha untuk meneruskan agenda menunaikan hak keistimewaan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dalam MA63.
“PBRS sangat konsisten serta komited bahawa prinsip dalam kandungan utama MA63 waiib dihormati sekali gus dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia,” katanya. – SNT