PBPS Sokong Pelantikan Jelani Sebagai Pengarah Sabah FC

jelani-and-james-wong.jpg
Kongsi Bersama

Oleh: Jaafar Abd Wahid

KOTA KINABALU: Persatuan Bekas-Bekas Pemain Sabah (PBPS) hari ini menyatakan sokongan penuh terhadap pelantikan Pengarah Sabah FC yang baharu, Datuk Dr Jelani Hamdan berkuatkuasa pada 10 Jun lepas.

Presidennya, Datuk James Wong berkata, PBPS mengalu-alukan pelantikan itu dan sedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada kepimpinan kelab tersebut.

Katanya, secara peribadi, beliau menyokong sepenuhnya pelantikan itu dan yakin Jelani mampu melaksanakan tanggungjawab yang diamanah dengan baik.

“Pada saya, beliau seorang yang memiliki kesungguhan dan komited terhadap peranan yang diberikan kepadanya dan sentiasa mempunyai iltizam untuk memburu kejayaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pelantikan Jelani itu diumumkan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Bung Moktar Radin baru-baru ini, bagi menggantikan tempat Benedict Asmat.

Bekas pemain penyerang negara itu percaya Jelani yang juga Naib Presiden SAFA mempunyai sikap kepimpinan yang berupaya menggerak Sabah FC dengan sokongan mereka yang mempunyai pengalaman dalam bola sepak.

“Walapun beliau (Jelani) mengakui kurang pengalaman dalam sukan ini namun sikap bersungguh-sungguh yang dimilikinya di samping komitmen dan sikap ambil tahu menjadi faktor yang dapat memastikan pentadbiran kelab itu diurus dengan lebih efektif,” tegasnya.

Menurut James, pengalamannya bersama Jelani yang menjadi Pengerusi Jawatankuasa Bolasepak Wanita SAFA dalam tempoh empat bulan lalu menarik perhatiannya mengenai komitmen dan kesungguhan Jelani dalam melaksanakan tugas yang diberikan kepadanya.

“Bagi pihak Persatuan Bekas-Bekas Pemain Sabah, saya mengucapkan syabas dan tahniah di atas pelantikannya dalam Sabah FC,” tambahnya.

Pada masa sama, kata beliau, tentunya pihak persatuan menghargai peranan baharu yang diamanahkan kepada beliau malah turut berasa senang hati.

Bekas-bekas pemain Sabah yang berusia 45 ke atas dan pernah mewakili Sabah dalam Kejohanan Piala Razak, Piala Borneo dan Piala Malaysia layak menganggotai PBPS.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top