KOTA KINABALU: Persatuan Bekas Polis Malaysia (РВРМ) Sabah mempunyai perancangan jangka masa panjang menubuhkan sebuah Pusat Dialisis sekali gus memberi faedah kepada semua ahlinya di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, persatuan juga merancang untuk membangunkan projek perumahan mampu milik kepada ahli serta anggota Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) yang bakal bersara kelak.
Katanya, ini merupakan usaha serta inisiatif sangat baik sekali gus perlu disokong dalam kalangan ahli persatuan dan juga masyarakat di negeri ini.
“РВРМ Sabah kini mempunyai ribuan ahli termasuk isteri dan anak-anak sebagai ahli bersekutu, merancang pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada ahli-ahli persatuan ini.
“Matlamat asal adalah untuk menjaga kebajikan ahli- ahli, saya dimaklumkan PBPM Sabah kini melangkah ke hadapan ke arah pengkorporatan membabitkan aktiviti perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Mesyuarat Agung Tahunan Perwakilan dan Pemilihan PBPM Negeri Sabah, di sini semalam.
Teksnya dibacakan, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Alfred Angin.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri prihatin NGO’s seperti PBPM memerlukan dana untuk menganjurkan pelbagai program serta aktiviti dalam usahanya membantu kebajikan ahlinya.
“Kerajaan bersedia memberikan kerjasama serta bantuan bagi membolehkan mereka dapat menjayakan pelbagai program dan aktiviti yang telah dirancang untuk semua ahlinya.
“Sementara pihak swasta, khususnya syarikat besar serta individu yang berkemampuan perlu bersama-sama kerajaan membantu mana-mana NGO’s kebajikan yang memerlukan sokongan dana untuk membantu masyarakat yang memerlukan pembelaan,” jelas Hajiji.
Menurutnya, Kerajaan negeri sentiasa menghargai jasa, pengorbanan serta komitmen tinggi bekas anggota polis dalam mempertahankan kedaulatan serta keselamatan negara dan negeri ini.
“Oleh itu, bekas anggota polis khususnya di negeri ini diminta agar terus membantu menjaga keamanan negeri ini, selain memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan khususnya agenda pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
“Saya juga berharap lebih ramai lagi pesara polis Persatuan Bekas Polis Malaysia bagi memudahkan interaksi selain dapat merancang dan melaksanakan pelbagai aktiviti persatuan sekali gus mengeratkan lagi hubungan persahabatan sesama anggota,” kata Hajiji.- SNT