BEAUFORT: Biro Kebudayaan dan Kesenian Persatuan Bisaya Bersatu (PBBS) telah mengadakan kunjungan hormat kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Haji Ruslan Muharam di Pejabat ADUN Lumadan, kelmarin.
Kunjungan hormat itu bertujuan untuk memberikan taklimat mengenai halatuju dan matlamat biro berkenaan kepada Ruslan, yang juga Presiden PBBS.
Naib Presiden PBBS, Nadin Salleh yang mengetuai ahli jawatankuasa (AJK) persatuan tersebut memberitahu bahawa persatuan ini akan mewujudkan galeri budaya di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Bisaya.
Selain itu, dewan serbaguna di dalam bangunan Pusat Kebudayaan dan kesenian PBBS akan dinamakan Dewan DSP Lajim Ukin, bagi memperingati jasa beliau.
Sehubungan itu, Ruslan juga menyarankan kepada Biro PBBS untuk mengukuhkan perpaduan dan mengekalkan identiti masyarakat Bisaya.
Beliau berkata, aktiviti kebudayaan juga boleh menjana pendapatan yang berbaloi dan lumayan sekiranya diuruskan dengan baik serta menginovasikan identiti budaya serta mewujudkan galeri PBBS dengan kadar yang segera.
Dalam program yang sama, Ruslan juga turut menyampaikan surat watikah pelantikan Nadin sebagai Pengerusi Biro.- Warta Oriental