Patut dari dahulu baiki jalan raya rosak, bukan kerana lawatan Agong, kata pemimpin Warisan KK

samuel-wong.jpeg

Samuel Wong

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Warisan (Warisan) mempersoal sekiranya jalan raya di Sabah yang selama ini rosak dan tidak sempurna akan mendapat perhatian kerajaan jika bukan kerana Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong menjalani kembaranya di negeri itu bermula esok.

Utusan Malaysia dalam laporannya hari ini memetik Ketua Penerangan Warisan Bahagian Kota Kinabalu, Samuel Wong berkata, terdapat banyak video tular di media sosial menunjukkan kerja-kerja penurapan jalan raya terutama di jalan yang akan dilalui kedua-dua Seri Paduka nanti.

Katanya, ia semakin janggal kerana kerja-kerja pembaikan itu hanya bermula beberapa minggu sebelum lawatan Seri Paduka Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke Sabah.

Katanya, kerajaan sepatutnya mengutamakan isu infrastruktur jalan di negeri itu sejak dahulu lagi berbanding menunggu peristiwa bertaraf tinggi seperti kedatangan kerabat diraja baru disusuli tindakan.

“Video-video ini membuatkan rakyat Sabah terperanjat, kerana mereka sebelum ini terpaksa menanggung keadaan jalan raya yang buruk selama bertahun-tahun.

“Persoalannya, akankah jalan raya ini mendapat perhatian jika Seri Paduka tidak datang ke Sabah untuk lawatan?

“Terdapat banyak lagi kawasan lain di Sabah yang mengalami masalah jalan raya teruk yang tidak termasuk dalam jadual jelajah.

“Jadi, adakah kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Persekutuan akan mengambil tindakan segera yang sama di kawasan-kawasan tersebut?” soalnya dalam kenyataan hari ini, yang dipetik oleh laporan itu.

Dalam pada itu, kata Samuel, rakyat Sabah telah menanggung kekurangan infrastruktur lengkap termasuk berkaitan bekalan air bersih, elektrik dan jalan raya.

“Penduduk Sabah tidak sepatutnya dieksploitasi dan penderitaan mereka harus diatasi dengan serius. Adalah menyedihkan bahawa aduan rakyat tentang keadaan jalan yang buruk ini diabai selama bertahun-tahun,” katanya.

Utusan Malaysia juga pada 20 Ogos lalu lalu melaporkan, Seri Paduka bakal merasai sendiri pengalaman memandu di Sabah yang sebahagian jalan diibaratkan seperti ‘jalan menuju ke bulan’ menerusi acara dinamakan Jelajah Kembara Borneo bermula esok.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, jalan yang akan dilalui Seri Paduka adalah sama seperti laluan yang diguna pengguna jalan raya yang lain.

Jelajah Kembara Borneo Seri Paduka di Sabah dijadualkan bermula 3 hingga 7 September ini sebelum meneruskan perjalanan ke Sarawak dan Brunei melalui Lebuhraya Pan Borneo hingga 13 September ini.

Daerah-daerah di Sabah yang termasuk dalam jajaran Lebuhraya Pan Borneo ialah Tawau, Lahad Datu, Sandakan, Telupid, Ranau, Kota Belud, Kota Kinabalu, Penampang dan Sipitang.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Shahelmey Yahya dilaporkan berkata, penaiktarafan jalan raya teruk di kawasan dilalui nanti bagi memberi keselesaan Seri Paduka dalam kembara itu.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top