KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew menyokong cadangan projek patung Mazu (Dewi Laut) terbesar di dunia, yang terbengkalai sejak 2006, dihidupkan semula.
Beliau berkata, selepas siap binaan itu mampu menjadi tarikan baharu di Kudat, selain Tip Of Borneo yang juga dikenali Simpang Mengayau.
FMT yang memetik Borneo Post melaporkan Christina juga berkata, “Apa saja konflik pada masa lepas boleh diselesaikan secara baik untuk manfaat rakyat Kudat dan ekonominya.”
Katanya, beliau akan membincangkan perkara itu dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor untuk pertimbangan dan kelulusan.
Perancangan pembinaan Patung Mazu pada 2005 dengan ketinggian 33 meter, yang tertinggi di dunia dibina di atas tanah persendirian menghadap ke laut dengan kos RM5 juta.
Projek itu dimulakan oleh bekas ketua menteri, Tan Sri Chong Kah Kiat yang ketika itu menjadi pengerusi Yayasan Amal Kudat Thean Chou.
Semua kertas kerja untuk projek itu selesai dan asasnya telah dibina apabila perintah berhenti kerja dikeluarkan pada 25 Mei 2006 sementara menunggu kelulusan Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tan Sri Musa Aman.
Perintah berhenti kerja itu dikeluarkan berdasarkan bantahan masyarakat Islam, atas alasan tapak itu terlalu dekat dengan masjid bandar, lebih 700m jauhnya.
Sekitar enam minggu kemudian, mufti negeri dipercayai mengeluarkan fatwa ditujukan kepada Musa, yang secara khusus mengarahkan kerja pembinaan patung itu dihentikan kerana bertentangan ajaran Islam.
Pada 2011, Musa menawarkan tapak baharu untuk projek itu di Pantai Bak Bak.