KOTA KINABALU: Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) adalah kunci utama bagi Sabah untuk melangkah ke Fasa Tiga Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.
Katanya, Sabah sudah berjaya beralih ke Fasa Dua PPN berkuat kuasa Sabtu ini, justeru dengan kerjasama rakyat yang mematuhi SOP, fasa tiga boleh dicapai tidak lama lagi.
Jelasnya yang juga jurucakap COVID-19 negeri, peranan dan sikap rakyat amat penting dalam usaha memerangi wabak COVID-19.
Beliau dalam pada itu, mengalu-alukan pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa negeri ini akan memasuki Fasa Dua PPN, bermula Sabtu.
“Saya anggap ia satu pengiktirafan kerja keras dan usaha gigih semua yang terlibat dalam pengurusan pandemik virus COVID-19 di negeri Sabah.
“Saya berharap agar kejayaan ini akan menjadi perangsang kepada kita semua melipatgandakan usaha memerangi penularan virus ini,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.
Sementara itu, Sabah semalam merekodkan pertambahan 279 kes positif COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 71,468 kes.
Tiga kes kematian turut dilaporkan, masing-masing di daerah Semporna, Lahad Datu dan Beaufort.