Patriot Persoal Pihak Atasan Tidak Sedar Pegawai Imigresen Terlibat Aktiviti Haram

arshad-patriot.jpg
Kongsi Bersama

PETALING JAYA: Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) meluahkan rasa terkejut berhubung tangkapan begitu ramai pegawai imigresen yang didakwa melakukan kegiatan haram di luar pengetahuan pegawai atasan mereka baru-baru ini.

Menyifatkan penangkapan itu sebagai sesuatu yang membimbangkan, presidennya Mohamed Arshad Raji berkata ia juga menunjukkan keadaan tidak baik wujud dalam Jabatan Imigresen.

“Jumlah tangkapan yang besar adalah petunjuk kepada kelemahan yang wujud dalam pengurusan, operasi, dan kawalan Jabatan Imigresen.

“Sukar dipercayai begitu ramai pegawai yang tidak bertanggungjawab dibiarkan melakukan kegiatan haram mereka sejak sekian lama tanpa disedari oleh pihak atasan, melainkan pihak atasan sendiri turut terlibat dalam kegiatan haram itu,” kata Arshad dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penangkapan itu juga memberi cerminan betapa lemahnya kepemimpinan jabatan terbabit, kerana mereka sepatutnya tahu bahawa pekerjaan masing-masing menuntut pematuhan ketat peraturan dan prosedur jabatan.

Arshad merujuk tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menangkap 50 orang, termasuk 28 pegawai imigresen, yang merupakan sebahagian daripada sebuah sindiket baru-baru ini.

Sindiket berkenaan, yang aktif sejak setahun lalu itu, memberi khidmat kepada majikan yang mahu pekerja asing mereka terus berada di sini atau pulang ke negara asal.

Mereka dipercayai beroperasi di pintu keluar-masuk utama negara, termasuk KLIA, klia2, dan Komplek Kastam dan Kuarantin di bangunan Sultan Ismail (BSI) di Johor Bahru.

Mereka ditahan dalam operasi penguatkuasaan SPRM dan Jabatan Imigresen yang dinamakan Ops Selat.

Lebih RM800,000 wang tunai, 26 kereta mewah dan 4 motosikal berkuasa tinggi dirampas.

Arshad menggesa Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dipantau lebih ketat oleh badan penyiasat dan agensi keselamatan kerajaan berkaitan, dengan merujuk kes melibatkan JPN yang dilaporkan tahun lalu.

“Pada September 2019, negara itu dikejutkan dengan penangkapan 20 pegawai JPN di Pulau Pinang kerana menjual dokumen pengenalan diri Malaysia kepada warga asing dengan bayaran antara RM100,000 hingga RM600,000.

“Dilaporkan bahawa penolong pengarah JPN negeri turut terlibat.

“Tidak banyak yang diketahui mengenai hasil siasatan itu, dan sama ada pertuduhan mahkamah difailkan terhadap pelaku,” katanya.

Arshad berkata, kerajaan mesti menganggap kegiatan haram yang dilakukan pegawai kedua-dua agensi itu sebagai pengkhianatan.

“Kerajaan mesti mengambil sikap tegas terhadap kegiatan sedemikian pada masa depan.

“Justeru Patriot menggesa kerajaan supaya membuat rombakan besar-besaran ke atas kedua-dua jabatan itu.

“Ketua jabatan perlu diberitahu dengan jelas bahawa mereka bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kegagalan dalam jabatan mereka pada masa depan ,” katanya. – FMT

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top