PATI Sanggup Belanja Hingga RM3,000 Untuk Balik Beraya: Timur Sabah Antara Titik Panas

PATI.jpg

Gambar hiasan.

Kongsi Bersama

PETALING JAYA: Pendatang asing tanpa izin (PATI) sanggup berbelanja RM1,500 hingga RM3,000 seorang menggunakan bot disediakan sindiket semata-mata untuk pulang ke negara asal menyambut Aidilfitri dan kembali semula ke Malaysia.

Selain Selangor dan Johor, lokasi titik panas yang menjadi pilihan di Semenanjung adalah selatan Perak, Melaka dan Negeri Sembilan, manakala Timur Sabah di Sandakan, Lahad Datu, Semporna dan Tawau.

Sejak 2020 hingga awal tahun ini, 35 PATI dilaporkan lemas sama ada dalam tragedi bot karam akibat dibadai ombak besar atau tidak sempat sampai ke kawasan pantai kerana ditinggalkan sindiket di tengah laut.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Mohd Zubil Mat Som, berkata setiap kali Hari Raya kebanyakan PATI termasuk dari Indonesia, Filipina dan Thailand berusaha pulang ke negara asal.

“Mereka mencari cara yang mudah untuk pulang dengan keluar melalui laluan yang tidak sah sama ada melalui laluan darat atau pun laut.

“APMM sudah mengenal pasti beberapa negeri menjadi lokasi ‘hot spot’ yang digunakan oleh sindiket penyeludupan PATI sebagai laluan keluar masuk secara haram ke Malaysia. Sindiket yang mengatur pergerakan PATI ini lazimnya menggunakan laluan sama,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Beliau berkata, modus operandi sindiket penyeludupan PATI berbeza kerana beberapa faktor, termasuk jenis bot digunakan sama ada bot laju atau bot nelayan.

“Jika dilihat lokasi ‘hot spot’ di Selangor, kebanyakan PATI yang keluar masuk adalah dari Sumatera iaitu di kawasan Belawan, Bengkalis, Pulau Rupat dan kawasan sekitarnya.

“Sindiket ini menggunakan bot nelayan dan bot kargo kayu yang mana kelajuan hanya lima hingga lapan knot sejam dan mengambil masa kira-kira enam hingga lapan jam untuk sampai ke destinasi,” katanya.

Katanya, berbeza pula dengan PATI dari Pulau Batam dan Pulau Bintan yang kebanyakannya akan menggunakan pangkalan di Pengerang, Sedili dan Mersing di Johor.

“Modus operandi sindiket di sini pula menggunakan bot berkuasa tinggi yang mengambil masa lebih singkat untuk sampai ke destinasi,” katanya.

Mengulas lanjut, Zubil berkata, sindiket itu juga menggunakan pelbagai platform media sosial seperti Facebook, WhatsApp, TikTok untuk mempromosikan perkhidmatan mereka, selain melalui kenalan atau keluarga yang pernah menggunakan perkhidmatan mereka.

“PATI ini menggunakan orang tengah sama ada ejen tempatan atau ejen dari negara asal untuk urusan perjalanan keluar/masuk Malaysia termasuk urusan pembayaran,” katanya.

Zubil berkata, APMM sentiasa terus meningkatkan kawalan dan kesiapsiagaan dengan melancarkan operasi khas sempena musim perayaan kali ini iaitu OP Khas Pagar Laut dan OP Benteng Laut.

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top