PATI ditawarkan pengampunan untuk pulang ke negara mereka

saifuddin.jpg

Saifuddin (Gambar fail)

Kongsi Bersama

PUTRAJAYA: Mulai 1 Mac ini pendatang asing tanpa izin (PATI) akan diberi peluang pulang ke negara asal mereka tanpa dikenakan tindakan pendakwaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata perkara itu diputuskan melalui Mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan pada Rabu

Menurut BHarian, di bawah program yang dinamakan Program Repatriasi Migran, yang akan bermula pada tarikh tersebut, PATI akan dihantar pulang selepas menjelaskan kompaun antara RM300 hingga RM500 mengikut jenis kesalahan imigresen yang dilakukan mereka.

Kesalahan yang dikenakan kompaun adalah memasuki Malaysia tanpa pas (RM500), tinggal di Malaysia melebihi tempoh pas (RM500) dan melanggar syarat pas (RM300).

“Mereka (PATI) akan dibenarkan pulang setelah mereka bayar kompaun dan mereka akan dikecualikan daripada proses pendakwaan.

“Program ini bersifat pengampunan pulang yang kita akan hebahkan supaya diguna pakai mereka yang terlibat untuk memudahkan penghantaran pulang,” katanya dalam sidang media di Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, semalam.

Kerajaan sebelum ini memperkenalkan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja yang memberi peluang kepada majikan untuk memohon pekerja asing tanpa izin bagi mengisi keperluan tenaga kerja, namun program itu tamat pada 31 Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, pada masa ini masih ramai warga asing yang tinggal di negara ini tiada dokumen sah dan tidak memenuhi keperluan tenaga kerja.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata mesyuarat Jemaah Menteri semalam bersetuju bahawa pembekuan permohonan kuota penggajian pekerja asing baharu sektor formal dilanjutkan.

“Ini kerana jumlah kuota yang diluluskan dan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 yang dilaksanakan mampu memenuhi keperluan pekerja asing.

“Pembekuan permohonan kuota telah bermula pada 18 Mac 2023 dan akan berterusan sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya.

Menurutnya, tiada keperluan untuk membatalkan pembekuan itu memandangkan tenaga asing yang diperlukan untuk sektor penting sudah mencukupi termasuk tenaga kerja asing yang bakal diperolehi daripada Program Rekalibrasi Tenaga Kerja.

“Selain itu, Jemaah Menteri pada mesyuarat pada hari ini juga bersetuju untuk menubuhkan Pusat Kelulusan Setempat (One Stop Centre – OSC) pengurusan pekerja asing diwujudkan semula dan ditempatkan di KDN,” katanya.

Pada Mac lepas, Menteri Sumber Manusia mengumumkan penangguhan permohonan dan kelulusan kuota pekerja asing termasuk melalui Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing (PKPPA).

Dalam pada itu, katanya proses permohonan kuota kemasukan pekerja asing ditambahbaik melalui pengurangan tempoh masa proses kerja daripada 29 bulan 13 hari kepada 15 Bulan tujuh hari.

Katanya, proses kerja baharu ini akan bermula apabila permohonan kuota baharu dibuka semula kelak.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top