Pasukan Tambahan Dihantar Ke Daerah Yang Rendah Peratus Vaksinasi

IMG-20211009-WA0005.jpg
Kongsi Bersama

PUTATAN: Kerjasama rapat orang ramai dalam menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) merupakan elemen penting bagi mencapai sasaran imuniti kelompok di negeri ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, pihak Kerajaan dalam masa sama telah menghantar pasukan tambahan ke daerah dikenal pasti mempunyai rekod peratusan vaksinasi rendah.

Katanya, ia adalah sebagai salah satu inisiatif berterusan Kerajaan Negeri Sabah untuk mengoptimakan pemberian vaksin di negeri ini.

“Terdapat beberapa daerah yang masih mempunyai pencapaian pemberian vaksin agak rendah.

“Pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) telah pun menghantar tambahan kakitangan untuk membuat program di lapangan untuk mengoptimakan pemberian vaksin kepada golongan dewasa di daerah-daerah tersebut.

“Dalam kita mengadakan program di lapangan dan juga masih menyediakan operasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV), yang paling penting sebenarnya adalah kerjasama dari rakyat kita sendiri,” tegasnya.

Menurutnya, pencapaian pemberian vaksin ini menjadi syarat peralihan fasa dari fasa pandemik ke fasa endemik.

“Kerana pemberian vaksin ini bukan sahaja untuk melindungi diri sendiri, tetapi juga melindungi keluarga dan masyarakat.

“Ia juga dijadikan syarat untuk kita mendapat peralihan daripada fasa pandemik ke fasa endemik,” katanya.

Beliau menyeru orang ramai agar menyambut seruan untuk mendapatkan vaksin bagi lindung diri lindung semua.

“Penduduk Sabah sama ada warga negara Malaysia ataupun bukan warga negara Malaysia yang belum menerima vaksin, kita mintalah tolong datang ke PPV berdekatan untuk menerima vaksin” katanya.

Shahelmey berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Kembara Prihatin bersama Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) Sabah di Kg. Ketiau, Putatan pagi tadi.

Terdahulu, semasa program tersebut, Shahelmey juga berpesan kepada pemimpin-pemimpin masyarakat agar mengemaskini data golongan sasar di kawasan masing-masing.

Beliau berkata, ini bagi mengelakkan kejadian nama penerima yang layak tercicir daripada menerima bantuan.

“Dalam usaha kita untuk menghulurkan bantuan kepada golongan yang terkesan, saya juga ingin berpesan kepada pemimpin masyarakat seperti Pejabat Daerah, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) di kawasan masing-masing untuk membantu mengemaskini data penerima-penerima bagi golongan sasaran.

“Ini bertujuan untuk memastikan bahawa kejadian-kejadian penerima yang betul-betul layak menerima bantuan tidak tercicir daripada menerima bantuan yang disediakan oleh Kerajaan,” katanya.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top