Pasukan Petugas Tangani Kerosakan Di Sepanjang Jalan Telupid-Beluran

Fadilah.jpg

Fadillah (tiga kanan) dan Arthur (dua kanan) meninjau pelaksanaan pakej kerja di bawah projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah di Papar pada Sabtu.-Foto Bernama

Kongsi Bersama

PAPAR: Kementerian Kerja Raya akan menubuhkan pasukan petugas untuk mencari penyelesaian segera berhubung kerosakan jalan di sepanjang laluan Telupid-Beluran bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya.

Menteri Kerja Raya Kanan Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pasukan petugas itu akan dipengerusikan oleh timbalannya Datuk Arthur Kurup dan dianggotai Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), serta syarikat konsesi dan agensi yang terlibat dalam pembinaan jalan raya dan penyelenggaraan.

Fadillah berkata pasukan petugas itu juga akan mengumpul data dan mengemukakan cadangan berkaitan kepada kementerian, selain memastikan konteks penyelenggaraan jalan itu menjadi penyelesaian jangka pendek bagi mengurangkan kesulitan pengguna jalan raya di kawasan itu.

“Penyelesaian jangka panjang ialah membina jalan baharu melalui Pan Borneo Sabah (projek Lebuh Raya), namun ia akan mengambil masa untuk disiapkan. Strategi pelaksanaan JKR Sabah ialah menyiapkan dua (daripada) empat lorong terlebih dahulu, tetapi paling cepat (masa yang diperlukan) ialah 18 bulan untuk disiapkan.

“Salah satu cabaran kita juga ialah menangani (isu) kenderaan yang lebih muatan, kerana kita sedar jalan raya (sedia ada) sudah melebihi jangka hayat, bermakna kita terpaksa membina semula atau membina yang baharu.

“Sehubungan itu, pasukan petugas akan bermesyuarat segera, kerana kesulitan yang dialami pengguna perlu ditangani, dan pasukan petugas akan memberi tumpuan untuk mengenal pasti kawasan kritikal mana yang boleh dibaiki terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Terdahulu, Fadillah meninjau pelaksanaan pakej kerja di bawah projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang melibatkan kerja-kerja menaik taraf jalan dari Donggongon, Penampang, ke persimpangan Jalan Papar Spur sempena Jelajah FTRoadpedia kementerian.

Fadillah berkata, pakej kerja itu adalah yang pertama dilaksanakan bermula 31 Julai 2016, dan dijangka siap Jun ini.

Beliau berkata fasa pertama projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah telah siap 57 peratus membabitkan 15 pakej kerja yang telah dilantik kontraktor.

Beliau berkata kelulusan prinsip juga telah diperolehi bagi baki 19 pakej kerja dalam fasa pertama semasa mesyuarat Kabinet pada 4 Mac.-Bernama

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top