KOTA KINABALU: Pasukan Pantai Barat ( A ) menjuarai Kejohanan Bola Sepak Liga Wanita Nasional Peringkat Negeri Sabah 2022 selepas menewaskan pasukan Pantai Barat Selatan ( A ) 5-0 dalam perlawanan akhir, yang berlangsung di Padang Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) di sini, semalam.
Perlawanan akhir itu merupakan kemuncak kepada kejohanan tersebut yang bermula pada 18 Ogos lalu dan dirasmikan oleh Setiausaha Agung SAFA, Datuk Dr Jelani Hamdan.
Menurut Jelani antara tujuan penganjuran kejohanan berkenaan adalah bagi mengenalpasti pemain berpotensi.
Katanya, ia bagi diserapkan ke pasukan negeri bagi menghadapi pertandingan bola sepak wanita, Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) yang dijadual September depan.
“Semua pemain berbakat yang dapat dikenalpasti menerusi kejohanan ini akan diserapkan ke pasukan negeri.
“Ia bagi memantapkan lagi pasukan wanita Sabah sedia ada untuk menghadapi PTSR,” katanya.
Kejohanan membabitkan 12 pasukan dan perlawanan dilangsungkan di empat venue iaitu di Padang SAFA, Padang Sintetik Kompleks Sukan Likas dan Padang SUKMA A, Padang SUKMA B serta Padang Tabs.