Pasukan Khas ESSCOM tahan dua lelaki, rampas dadah, senapang angin buatan sendiri

esscom-rampas.jpg

Dadah, senapang angin buatan sendiri, pisau taji ayam sabung dan barangan lain yang dirampas semasa serbuan itu.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pasukan Khas Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) berjaya merampas 87.53 gram dadah jenis Methamphetamine bernilai RM24,500 dalam serbuan di kawasan penagihan dan pengedaran dadah di sebuah ladang Divisyen 3 dan 4, Jalan Jeroco, Lahad Datu.

Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, turut dirampas dalam operasi itu ialah tiga laras senapang angin buatan sendiri, 50 butir peluru guli, 10 bilah pisau taji ayam sabung, empat bilah parang dan tiga bilah kapak.

Katanya, dua lelaki warga Indonesia juga berjaya ditahan dan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan untuk disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Tindakan pantas Pasukan Khas ESSCOM melalui kerjasama dan dibantu Polis Bantuan di ladang itu menyerbu kawasan penagihan dan pengedaran dadah mencerminkan komitmen dan jaminan ESSCOM dalam mengurangkan Jenayah Rentas Sempadan (JRS),” katanya.

Beliau juga mengalu-alukan kerjasama orang awam untuk melaporkan sebarang maklumat mencurigakan ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau melalui aplikasi WhatsApp di talian 011-63311072 agar kesejahteraan di ESS Zone dapat terus diperkasa.

“ESSCOM juga akan terus memperhebat koordinasi operasi bersama pasukan keselamatan yang lain bagi mengekang dan menangkap individu yang berniat jahat untuk mengganggu serta menggugat keamanan dan keselamatan negara.

“Kita juga turut komited membantu pelbagai Agensi Penguatkuasaan Persekutuan dan Negeri dalam membanteras elemen JRS seperti aktiviti samun laut dan penyeludupan kontraban dengan mempergiat operasi secara bersepadu di kawasan daratan serta perairan ESS Zone,” katanya. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top