Pastikan peruntukan Persekutuan untuk Sabah diguna sepenuhnya membangun negeri

Bung-di-DUN.jpg

(Gambar fail)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pusat sehenti bagi mengurus perlaksanaan projek pembangunan di Sabah perlu ditubuhkan untuk memastikan projek berjalan lancar dan peruntukan tahunan Persekutuan dapat digunakan sepenuhnya, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu semalam.

Mencadangkan perkara itu, Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Lamag) berkata saban tahun Sabah gagal menggunakan sepenuhnya peruntukan tahunan untuk projek pembangunan daripada kerajaan Persekutuan akibat pelbagai isu yang melambatkan projek terlibat antaranya isu tanah dan utiliti.

Beliau berkata kesukaran untuk menggunakan sepenuhnya peruntukan tahunan tersebut merugikan Sabah kerana ia menyebabkan kehilangan peluang untuk membawa pembangunan yang amat diperlukan Negeri di Bawah Bayu ini.

“Tidak pernah (belanjakan) 100 peratus, paling tinggi pun hanya 52 peratus sahaja. Jadi, saya cadangkan melalui pusat sehenti ini sebelum jalankan projek dan dapat peruntukan, kita selesaikan dulu isu seperti tanah, air, elektrik, pembentungan dan utiliti lain.

“Ini kadang kala pembentungan dan air pun tidak diselaraskan, korek sana pecah sini, tiada penyelarasan sampaikan projek ambil masa lama untuk siap, misalnya satu projek ambil masa sampai tiga tahun,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Sabah 2024 pada persidangan itu.

Sementara itu, Datuk Ewon Benedick (UPKO-Kadamaian) memohon dewan merekodkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah meningkatkan kadar pemberian khas interim untuk Sabah daripada RM125.6 juta kepada RM300 juta.

“Dewan ini juga harus merakamkan penghargaan atas komitmen Kerajaan Perpaduan memuktamadkan formula kekal pemberian khas ini dalam tempoh satu tahun dari tarikh mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 pada Julai 2023.

“Dalam ketegasan kita memperjuangkan penyelesaian tuntas kepada tuntutan ini, saya berharap dan mencadangkan agar kerajaan Sabah tampil dengan cadangan formula pemberian khas yang boleh diterima sekiranya kita tidak dapat bersetuju dengan cadangan formula yang dicadangkan Persekutuan,” katanya.

Beliau juga mencadangkan jawatankuasa perunding yang ditubuhkan sebelum ini diperkasakan dengan pasukan pakar bagi membantu kerajaan negeri mengemukakan cadangan formula yang kekal berdasarkan interpretasi perlembagaan dan analisis cukai serta hasil Persekutuan di Sabah.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top